Kenaikan Gaji Penjawat Awam Tetap Dilaksanakan 1 Julai Ini

Diterbitkan: Khamis, 3 Mac 2016 6:23 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan tetap melaksanakan kenaikan satu tangga gaji bagi 1.4 juta penjawat awam pada 1 Julai ini seperti yang dijanjikan dalam Bajet 2016, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata gaji minimum penjawat awam sebanyak RM1,200 sebulan juga akan dilaksanakan pada tarikh sama.

"Kerajaan juga tidak akan berhentikan penjawat awam termasuk mereka yang dilantik secara kontrak," katanya semasa menutup Konvensyen Perumahan Penjawat Awam bertema 'Rumah Idaman Menjamin Kualiti Hidup' di sini, Khamis.

Turut hadir Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda dan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Ali berkata kesemua inisiatif itu membuktikan komitmen kerajaan terhadap kebajikan rakyat terutamanya penjawat awam walaupun dalam persekitaran ekonomi yang mencabar.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan amat turut mengambil berat dalam isu kebajikan mereka dengan melaksanakan program perumahan seperti Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) yang diperkenal sejak 2013.

"Setakat ini, sebanyak 300 unit rumah berharga RM90,000 telah diluluskan untuk pembinaan, dan unit-unit ini dikhaskan kepada mereka yang berpendapatan kurang daripada RM1,2000 sebulan.

"Namun, kerajaan akan kaji semula (perkara ini) agar lebih ramai penjawat awam dari golongan ini dapat memiliki rumah," katanya.

Sehingga hari ini, sebanyak 48,695 unit PPA1M telah diluluskan dan sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

Pada majlis itu, Azih menyerahkan senarai 15 resolusi kepada Ali untuk kerajaan mengkaji semula Dasar Perumahan Negara 2011.

Antara intipati resolusi itu, yang merupakan hasil perbincangan bersama antara Cuepacs dan ANGKASA, adalah memastikan semua penjawat awam khasnya kumpulan B40/M40 mampu memiliki rumah idaman bagi menjamin kualiti hidup.

Selain itu Cuepacs dan ANGKASA meminta kerajaan mengkaji semula Akta dan Peraturan Perumahan serta Akta Kanun Tanah Negara, mewujudkan bank tanah dan bank data perumahan negara. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: ANGKASA , penjawat awam , kenaikan gaji

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan