Tiga Beradik Mampu Berjaya Walau Nasib Tidak Baik Pada Usia Muda

Diterbitkan: Rabu, 2 Mac 2016 9:30 AM

Dari kiri: John-Hans, John-Ian dan John-Son

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Walaupun perlu berdepan dengan nasib kurang baik pada usia muda, Oei bersaudara tetap meneruskan langkah dan akhirnya diberi ganjaran kejayaan.

Mereka kehilangan bapa ketika awal remaja dan ibu mereka, Ooi Piek See, terpaksa menjadi pencari nafkah tunggal selepas menghabiskan sebahagian besar hidupnya sebagai seorang suri rumah.

Tanpa mahu merintih nasib bertanyakan 'Kenapa saya?', tiga adik-beradik ini terus mengatur langkah ke hadapan, setelah mendapat inspirasi daripada keazaman ibu mereka yang berusia 56 tahun.

Hari ini, John-Ian Oei, 31, John-Son Oei, 29, dan John-Hans Oei, 27, adalah usahawan yang berjaya. Malah, John-Son berjaya tersenarai dalam 30 senarai Usahawan Sosial Forbes 30 di bawah usia 30 di Asia pada 25 Februari lalu.

Beliau telah mengambil langkah membina Epic Homes, satu usaha pembinaan rumah untuk masyarakat Malaysia yang kurang bernasib baik dan telah memperoleh penghargaan dan pengikut yang besar di kalangan anak muda.

John-Hans dan John-Ian pula adalah pemilik bersama Mikrob, syarikat pembekal pengurusan sisa mesra alam, yang memberi khidmat terutamanya kepada industri makanan dan minuman.

Ditanya mengapa mereka memilih bidang perniagaan yang memberi tumpuan kepada memperbaiki kehidupan dan alam sekitar, John-Son berkata: "Kami telah ditunjukkan dengan begitu banyak kebaikan. Kami mahu mencari jalan untuk mengembalikan kebaikan itu," katanya.

Adik-beradik ini juga menyifatkan kejayaan mereka itu adalah hasil kecintaan dan bimbingan ibu mereka selama ini.

"Ibu adalah seorang suri rumah selama 14 tahun apabila ayah meninggal dunia. Sejak itu, dia terpaksa menjadi pencari nafkah tunggal, ibu dan bapa kepada keluarga.

"Tetapi dia tidak pernah mengeluh tentang keadaan kami pada masa itu. Saya berfikir dari situlah kami bangkit untuk berkerja keras," kata John-Hans.

John-Ian masih ingat lagi bagaimana mereka melakukan banyak pekerjaan selepas sekolah untuk membantu membayar bil.

"Sebagai anak sulung, saya sanggup melakukan apa sahaja yang boleh untuk menyumbangkan sedikit wang," katanya.

Tiga beradik ini adalah alumni Universiti Taylor.
Tags / Kata Kunci: Oei bersaudara , adik-beradik berjaya

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan