Pelajar Buta Ulang-Alik 80Km Sehari Muncul Pelajar Terbaik STPM 2015

Diterbitkan: Rabu, 2 Mac 2016 10:00 PM

Saat gembira dikongsi bersama bagi empat pelajar ini (dari kiri) Muhammad Ikmalul Iktimam Mahadhir (SMK Sri Gunung Bachok, Kelantan, Azree Feekree Zamzuri (SMK St John Kuala Lumpur), pasangan kembar Felicia Pui Jia Yin dan Andrea Pui Jia Yin setelah dianugerahkan pelajar terbaik Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2016 kategori Pelajar Istimewa, Rabu.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Biarpun merentas perjalanan sejauh 80 kilometer setiap hari untuk ke sekolah, ia tidak mematahkan semangat Azree Feekree Zamzuri untuk muncul antara pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kategori Pelajar Istimewa.

Azree Feekree, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St John, Kuala Lumpur berkata kekurangan pancaindera penglihatan serta pengorbanan ibu bapa sebagai pembakar semangatnya untuk melakukan yang terbaik dalam peperiksaan STPM.

"Setiap hari, saya perlu keluar rumah pada pukul 6 pagi dan akan tiba di rumah 13 jam kemudian dengan menaiki kereta dipandu ayah. Ia menjadi pendorong kepada saya untuk belajar bersungguh-sungguh," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian anugerah kepada pelajar terbaik STPM dan Malaysian University English Test (MUET) 2015 di sini, Rabu.

Anak kerani kilang percetakan Kumpulan Utusan (M) Berhad, Bangi itu,  merupakan antara 18 pelajar terbaik STPM dan MUET 2015 yang menerima sijil penghargaan, wang tunai RM1,000 dan plak daripada Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid pada majlis berkenaan.

Selain menggunakan buku rujukan berbentuk 'Braille' untuk mengulang kaji pelajaran, Azree Feekree berkata kejayaan dua orang kakaknya, yang juga cacat penglihatan mendorongnya membuktikan bahawa beliau boleh berjaya.

Azree Feekree mendapat keputusan gred A bagi Pengajian Am, Bahasa Melayu, Kesusasteraan Melayu Komunikatif dan Sejarah, dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.

Selain Azree Feekree, tiga lagi pelajar cemerlang dalam kategori itu ialah Muhammad Ikmalul Iktimam Mahadhir dari SMK Sri Gunung, Bachok, Kelantan dan adik-beradik Felicia Pui Jia Yin dan Andrea Pui Jia Hui, dari SMK (P) St.George, Georgetown, Pulau Pinang.

Turut menerima anugerah ialah pelajar terbaik bagi kategori Bandar, kategori Luar Bandar, kategori Orang Asli, Kategori Pelajar Luar Negara dan kategori calon terbaik MUET.

Selain itu, Loke Chia Chien A/L Loke Heng Fatt dari SMK Rompin, Rompin Pahang dan Nursian Salamoh dari Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang, Selangor, masing-masing merupakan pelajar terbaik dalam kategori Orang Asli dan kategori Pelajar Luar Negara.

Menurut Loke, ulang kaji secara sistematik, memberi tumpuan di dalam kelas serta tidak mudah patah semangat dengan usikan rakan sekelas antara resepi kejayaannya dalam peperiksaan STPM.

"Saya memberi tumpuan penuh serta mengikuti kelas tambahan dan bertanyakan kepada cikgu sekiranya tidak memahami. Saya mengulang kaji dua hingga tiga jam setiap hari.

"Saya pernah juga rasa putus asa, tetapi dorongan guru-guru dan ibu bapa serta ceramah agama memberi motivasi dan semangat untuk berjaya," kata anak sulung daripada tiga beradik yang bercita-cita menjadi pegawai kastam itu.

Bagi Nurisan yang berasal dari Patani, Thailand, hanya pelajaran yang dapat mengubah nasib keluarga yang memperoleh pendapatan sekitar RM500 dan RM600 sebulan dengan upah menjahit.

"Oleh itu, walaupun keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya tidak beberapa bagus dan saya mengambil iktibar untuk terus melakukan yang terbaik dalam STPM. Saya juga berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia memberi biasiswa kepada saya," katanya.

Selain itu, lima pelajar terbaik turut disenarai sebagai calon terbaik STPM 2015 kategori Bandar ialah Tee Wee Sin (SMK Munshi Sulaiman, Batu Pahat, Johor); Choong Wai Kean (SMK Sam Tet, Ipoh Perak), Chai Chin Chiet (SMK Seri Bandar Pontian, Pontian, Johor); Wan Nursyafiqah Wan Rusli (SMK Tunku Temenggung, Pendang Kedah) dan Too Hon Lin (SMK Gajah Berang, Melaka).

Selain itu, lima pelajar terbaik bagi kategori Luar Bandar ialah  Muhammad Hakim Suhaimi (SMK Sultan Ibrahim (2) Pasir Mas, Kelantan); Nur Izwani Zulkifli (SMK Seri Intan Machang, Kelantan); Goh Kai Ying (SMK Mentakab, Pahang); Syamimi Sharifudin (SMK Tunku Putra Batu Pahat, Johor) dan Ooi Tzu Chia (SMK Dato' Penggawa Timur, Pasir Gudang, Johor).

10 sekolah diumum sebagai Sekolah Terbaik STPM 2015 ialah Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), Klang Selangor, SMK Hua Lian, Taiping Perak, SMK Jitra, Jitra Kedah, SMK Tun Dr Ismail Muar Johor, SMK Agama Persekutuan Labu, Negeri Sembilan.

Lima lagi ialah SMK Agama Sheikh Haji Mohd Said, Negeri Sembilan, SMK Sultan Ibrahim 1 Pasir Mas Kelantan, SMK Dong, Raub Pahang, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Jit Sin Pulau Pinang dan SMK (Perempuan) Abu Bakar Johor.

Terdahulu, Mahdzir turut melahirkan rasa puas hati dengan keputusan STPM 2015 yang diumumkan hari ini, yang menunjukkan peningkatan kualiti pelajar serta prestasi guru bagi mencapai kecemerlangan.

Katanya, ia merupakan satu petunjuk baik untuk tingkatan enam dikekalkan untuk memberi pilihan kepada pelajar untuk meneruskan pengajian mereka selepas tamatnya tingkatan lima.

"Rekod juga menunjukkan bahawa pelajar STPM juga mampu mengekalkan prestasi cemerlang di universiti di aliran sains dan bukan sains. Kejayaan ini amat rapat dengan sikap guru dan keluarga.

"Kecemerlangan yang dicatat ini, sebahagian adalah hasil titik peluh dan usaha gigih guru dan keluarga," katanya.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: STPM , Azree Feekree Zamzuri

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan