GST Bantu Kerajaan Tampung Peruntukan BR1M - MB Perlis

Diterbitkan: Sabtu, 27 Februari 2016 7:20 PM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) menyelamatkan ekonomi Malaysia termasuk menampung peruntukan Bantuan Rakyat1 Malaysia (BR1M), kata Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man. 

Beliau berkata berdasarkan keadaan ekonomi semasa negara yang suram, GST yang dilaksanakan mulai 1 April tahun lepas menjadi penyelamat kerajaan untuk terus menyalurkan BR1M kepada rakyat miskin.

"BR1M tidak mungkin dapat dilaksanakan berdasarkan perkembangan ekonomi semasa ketika harga minyak mentah dunia jatuh yang memberi kesan pada hasil negara tetapi Alhamdulillah kita diselamatkan oleh GST," katanya selepas menyampaikan bantuan kepada 1,427 penerima BR1M dalam Parlimen Kangar di sini Sabtu.

Katanya sejumlah 1,427 lagi penerima BR1M dalam Parlimen Padang Besar dan Arau akan menerima bantuan itu pada Ahad.

Sebanyak RM908,450 diperuntukkan kepada penerima yang layak dalam ketiga-tiga Parlimen itu.

Dalam perkembangan lain, Azlan yang ditanya tentang kebakaran di Tapak Pelupusan Sanitari Padang Siding, Pauh, pada 23 Februari lepas, melahirkan rasa kesal kerana berulangnya kejadian yang berlaku pada 2014.

Beliau berkata kebakaran itu mungkin disebabkan api rokok pencari barang lusuh di tapak tersebut yang mudah terbakar pada musim kering sekarang.

Kebakaran tapak seluas 2.25 hektar itu pada 23 Feb lepas mencemarkan kawasan berhampiran dengan asap tebal dan api hanya dapat dipadamkan sepenuhnya dua hari kemudian. Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan