Muhyiddin Tidak Wakili Suara Majoriti Rakyat Johor - Nazri - Berita Semasa | mStar

Muhyiddin Tidak Wakili Suara Majoriti Rakyat Johor - Nazri

Diterbitkan: Khamis, 25 Februari 2016 2:18 PM

Nazri Aziz

Nazri Aziz.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Prestasi Umno di Johor tidak akan terjejas sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin digantung daripada parti, kata Ahli Majli Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Nazri Aziz.

Beliau berkata ini berikutan Timbalan Presiden itu tidak mewakili suara majoriti Umno Johor yang diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

"Sejak bila Muhyiddin mewakili Johor?," katanya pada sidang media di Istana Budaya di sini, Khamis.

Nazri diminta untuk mengulas mengenai kenyataan Ketua Pemuda Umno Johor, Mohd Zaid Abdul Rahman yang meminta Nazri supaya meminta maaf kepada rakyat Johor di atas kenyataan bersifat 'kurang ajar' terhadap Muhyiddin.

"Saya tidak bimbang mengenai kenyataan tersebut kerana Muhyiddin tidak mewakili rakyat Johor," katanya.

Terdahulu, Nazri berkata beliau akan akan mencadangkan usul penggantungan Muhyiddin daripada jawatannya sebagai Timbalan Presiden Umno semasa mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno pada Jumaat.

Nazri mengesahkan bahawa beliau akan membangkitkan perkara itu semasa mesyuarat tersebut.

Malah katanya ia boleh digunakan sebagai aduan rasmi terhadap Muhyiddin kerana 'gagal menjalankan tugasnya' sebagai timbalan presiden parti.

Nazri berkata Muhyiddin sepatutnya belajar daripada Timbalan Ketua Umno Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed yang mempertahankan beliau apabila diserang.

"Sebagai timbalan ketua bahagian, adalah baik beliau datang untuk mempertahankan ketuanya. Ia adalah tugas timbalan untuk mempertahankan ketuanya.

"Muhyiddin perlu belajar daripada beliau," kata Nazri.





   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan