JKMPKA Mekanisme Tingkatkan Keharmonian Negara - Najib

Diterbitkan: Rabu, 24 Februari 2016 6:19 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian di antara Penganut Agama (JKMPKA) ditubuhkan untuk meningkatkan persefahaman dan keharmonian antara penganut agama di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya memerlukan satu mekanisme untuk mencari jalan penyelesaian sekiranya timbul masalah dan konflik berhubung agama.

"Kami perlu cari penyelesaian yang adil dan saksama. Akan terdapat masalah dan cabaran kerana kita hidup dalam masyarakat majmuk, dan kita perlu berdepan dengan sikap positif," katanya pada majlis penyampaian watikah pelantikan kepada 32 anggota JKMPKA 2016-2017, di sini pada Rabu.

Pelantikan anggota JKMPKA berkenaan yang terdiri daripada ketua agama, ahli akademik, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agama dan sosial dan belia berkuat kuasa pada 1 Jan tahun ini hingga 31 Disember 2017.

Ditubuhkan pada 2010, usaha JKMPKA tertumpu kepada meningkatkan kefahaman terhadap pelbagai agama, membincangkan isu yang boleh menggugat keharmonian agama dan ketenteraman masyarakat, mencadangkan dasar kerajaan yang berteraskan nilai agama dan melaksanakan aktiviti kemasyarakatan bersama kerajaan.

Najib berkata: "Saya yakin rakyat Malaysia akan terus hidup dalam aman dan harmoni. Saya bergantung pada anda semua untuk memainkan peranan anda untuk mencapai matlamat murni ini. Kita semua mahukan keamanan dan keharmonian dan kita mahu Malaysia mencapai kejayaan."

Beliau berkata kejayaan Malaysia sejak mencapai kemerdekaan pada umumnya melalui detik-detik dalam perjalanan membina sebuah negara bangsa dengan jayanya tanpa berlaku konflik yang boleh meruntuhkan negara.

"Ini merupakan perjalanan berterusan untuk memperkukuhkan teras dan corak masyarakat yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama. Usaha ini perlu dilakukan secara sedar kerana ia tidak boleh dibiarkan berlaku secara sendirinya.

"Ia perlu dilakukan secara formal dan keinstitusian, dirancang dengan baik, selaras dan menerusi usaha bersepadu untuk memperkukuhkan perpaduan negara.

"Kita mungkin ada keharmonian nasional tetapi kita perlu menjurus kepada satu tahap lebih ideal iaitu perpaduan negara dalam erti kata sebenar," katanya.

Najib turut menekankan kepentingan mewujudkan satu suasana 'kekitaan sebagai satu komuniti Malaysia' iaitu satu komuniti yang terikat dengan rasa hormat, semangat kekitaan dan kebersamaan.

Bagi mencapai matlamat itu, beliau menggariskan perkara-perkara yang perlu diamalkan seperti menghormati Perkara 3 Perlembagaan Negara yang menetapkan Islam adalah agama persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian persekutuan.

"Kami (kerajaan) sentiasa memastikan bahawa setiap tindakan yang kami ambil adalah berdasarkan Perlembagaan Malaysia. Inilah teras negara kita," katanya.

Selain mematuhi undang-undang negara, Najib berkata masyarakat berbilang kaum Malaysia juga harus mengekalkan pegangan kepada prinsip Rukun Negara.

"Di samping itu, kita perlu melihat kepada nilai-nilai teras kita yang melangkaui semua agama dan semua komuniti di dalam negara. Antara nilai-nilai teras yang kita cuba kenal pasti termasuk iaitu kita sebagai rakyat Malaysia perlu mengamalkan kesederhanaan dalam apa juga yang kita lakukan.

"Sederhana, saling menghormati, bekerja bersama-sama, semangat memberi dan menerima, mahu mencari penyelesaian dan tidak mencetuskan masalah. Ini adalah antara nilai-nilai teras yang perlu kita amalkan.

"Akhir sekali, kita perlu membudayakannya dan menjadikannya sebagai sebahagian daripada diri kita sendiri. Kita boleh melakukan ini menerusi perbincangan, saling berdampingan, mengunjungi satu sama lain, bercakap antara satu sama lain dan sentiasa mencari kebersamaan," katanya.

Tags / Kata Kunci: Najib Tun Razak

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan