Ribuan Premis Makanan, Hotel Tak Layak Kenakan Caj Perkhidmatan

Diterbitkan: Selasa, 23 Februari 2016 8:00 AM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

EKSKLUSIF

PETALING JAYA: Ribuan premis makanan termasuk hotel bakal berdepan tindakan tegas kerana didapati menyalahgunakan notis caj perkhidmatan 10 peratus yang dikenakan kepada pelanggan.

Pengusaha premis terlibat didapati mengelirukan pengguna kerana bertindak mengenakan caj berkenaan walaupun tidak memenuhi syarat untuk berbuat demikian.

Mengikut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), hanya premis yang mempunyai perjanjian kolektif (CA) antara majikan dan kesatuan sekerja yang membolehkan caj berkenaan.

Sehubungan itu, kementerian itu dalam proses merangka peraturan baharu bagi mengenakan tindakan terhadap semua premis terlibat mengikut pindaan Akta Perlindungan Pengguna.

Pindaan akta itu membolehkan KPDNKK membuat semakan sama ada peniaga mempunyai CA bagi melayakkan mereka mengenakan caj perkhidmatan kepada pengguna dan sama ada peniaga sebagai majikan mengagihkan hasil kutipan daripada caj berkenaan kepada pekerja mereka.

Jika peniaga atau syarikat didapati gagal berbuat demikian, KPDNKK akan mengambil tindakan tegas berdasarkan peruntukan undang-undang. Setakat ini, rekod kementerian menunjukkan hanya 93 syarikat perhotelan dan makanan di negara ini mempunyai CA.

Berdasarkan tinjauan mStar Online, didapati ada empat restoran popular yang mempunyai lebih 500 cawangan di seluruh negara, sewenang-wenangnya mengenakan caj perkhidmatan 10 peratus walaupun tidak mempunyai CA.

Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, tahun lalu pihaknya mengenakan syarat kepada pengusaha supaya mempamerkan notis caj perkhidmatan, sebagai pemberitahuan kepada pengguna.

“Bagaimanapun, kaedah itu tidak hanya digunapakai pengusaha yang layak, malahan semua (peniaga) buat macam tu sekarang. Saya tidak fikir kedai makan biasa pun ada CA kerana secara logiknya mereka tiada kesatuan sekerja.

“Tetapi sebab tiada peraturan khusus ketika ini, maka peniaga sesuka hati memaparkan notis dan kenakan caj perkhidmatan kepada pengguna,” katanya dalam temuramah dengan mStar Online, baru-baru ini.

Datuk Seri Alias Ahmad.

Jelas Alias lagi, mengikut peraturan itu, premis yang tidak mempamerkan notis caj perkhidmatan adalah satu kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Jika disabitkan kesalahan, pengusaha boleh dikenakan penalti RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya, manakala syarikat dikenakan penalti RM500,000.

Sehubungan itu, kata Alias, KPDNKK merancang untuk mewujudkan  peraturan baharu tahun ini bagi memperkasakan aspek penguatkuasaan dan memberi lebih jaminan perlindungan ke atas pengguna.

“Kita minta penasihat undang-undang dan penguatkuasaan untuk merangka peraturan baharu. Kita akan buat semakan undang-undang.

“Perkara ini perlu diteliti kerana melibatkan Kementerian Sumber Manusia dan beberapa pihak berkaitan,” katanya sambil menambah CA diiktiraf oleh Mahkamah Perusahaan berhubung sistem gaji yang diguna pakai oleh kesatuan sekerja.

“Pindaan akta berkenaan perlu dijangka dibentangkan di Parlimen pada suku keempat tahun ini, sebelum dilaksanakan tahun depan," katanya sambil menambah diharapkan pelaksanaan peraturan baharu itu dapat disegerakan.



Tags / Kata Kunci: Alias Ahmad , KPDNKK , caj perkhidmatan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan