Rakyat Malaysia Semakin Sinis, Kurang Kepercayaan

Diterbitkan: Selasa, 23 Februari 2016 5:00 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kepercayaan rakyat Malaysia terhadap kerajaan, perniagaan dan pihak media semakin merosot kerana mereka semakin bosan dengan skandal dan cara ia ditangani, menurut kaji selidik Edelman Trust Barometer 2016.

Berbanding tahun sebelumnya, keyakinan terhadap kerajaan di kalangan masyarakat umum susut tujuh mata kepada 39 peratus dan susut 11 mata kepada 34 peratus di kalangan masyarakat terpelajar.

Kepercayaan terhadap media dan perniagaan di kalangan orang ramai masing-masing jatuh satu mata kepada 45 peratus dan dua mata kepada 58 peratus.

Bagaimanapun, di kalangan masyarakat terpelajar, kepercayaan terhadap media meningkat 13 mata kepada 59 peratus manakala tiada perubahan dalam kepercayaan mereka dalam perniagaan iaitu 67 peratus.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terus menjadi institusi paling dipercayai di Malaysia, mencatatkan peningkatan empat mata di kalangan golongan awam berpendidikan dan peningkatan dua mata di kalangan orang awam.

Ini merupakan kajian yang kelima di Malaysia yang dijalankan oleh firma pemasaran komunikasi itu. Keputusan kaji selidik itu telah dikeluarkan pada Selasa.

Secara purata, kepercayaan rakyat Malaysia terhadap institusi adalah 58 peratus di kalangan masyarakat terpelajar dan 51 peratus di kalangan penduduk umum. Di peringkat global, bacaan ini masing-masing mencatatkan 60 peratus dan 50 peratus.

Rakyat Malaysia juga kurang percaya kandungan di media sosial, dengan penurunan tujuh mata kepada 42 peratus berbanding 2015.

Kepercayaan mereka terhadap media sosial adalah tinggi, sebanyak 58 peratus pada tahun 2013, sebelum jatuh pada tahun-tahun berikutnya.

Edisi terbaru Edelman Trust Barometer membuat tinjauan terhadap lebih daripada 33,000 orang di 28 buah negara antara 13 Oktober dan 16 November tahun lepas.

Saiz sampel di Malaysia bagi kaji selidik ini ialah seramai 1,150 responden untuk penduduk umum dan 200 responden untuk penduduk berpendidikan.

Orang ramai yang terpelajar berumur 25-64 tahun, mempunyai pendidikan tinggi, berada di atas 25 peratus daripada pendapatan isi rumah bagi setiap kumpulan umur di setiap negara, mengikuti perkembangan perniagaan dan laporan media serta mengikuti isu-isu dasar awam dalam berita beberapa kali minggu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan