Nazri Mahu Lihat Pemimpin Umno Miliki Disiplin Tertentu

Diterbitkan: Selasa, 23 Februari 2016 9:53 PM

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Kenyataan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah pandangan ikhlas yang bertujuan melihat pemimpin Umno mempunyai disiplin tertentu terutamanya mereka yang berjawatan tinggi dalam parti.


Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata peringatan oleh Mohamed Nazri yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno bukan sekadar ditujukan kepada Muhyiddin malah kepada semua anggota Umno.

"Saya percaya, kita ada kaedah kita. Misalnya kalau ada perbezaan dalam pandangan berpolitik, Tan Sri Muhyiddin selaku Timbalan Presiden dan beliau menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (Umno), jadi beliau boleh suarakannya dalam mesyuarat itu.

"Sepatutnya dihargai satu semangat yang dicapai sewaktu Perhimpunan Agung (Umno) lepas di mana presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) memilih untuk berjiwa besar dan saling berpelukan serta bersalaman (dengan Muhyiddin). Sebarang perbezaan mesti diselesaikan di dalam (parti) bukan di luar," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Ahmad Shabery berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mohamed Nazri semalam yang meminta Muhyiddin meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Presiden Umno jika beliau tidak lagi dapat menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya dengan sempurna.

Terdahulu, Ahmad Shabery yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani meluangkan masa melawat kilang Syarikat Biotropics Malaysia Bhd, satu daripada syarikat peneraju di bawah Produk Herba Bernilai Tinggi, Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) Pertanian, yang melaksanakan kajian klinikal dan praklinikal bagi produk Tongkat Ali.

Mengulas mengenai lawatannya itu, beliau berkata kerajaan akan sentiasa menyokong industri Tongkat Ali yang merupakan satu daripada herba utama di negara ini, bagi memastikan ia terus kekal terpelihara.

"Kita dapati industri Tongkat Ali berdepan pelbagai cabaran seperti kewujudan banyak pihak yang mengeluarkan herba ini ke luar negara secara mentah sehingga memaksa industri ini terpaksa bersaing dengan pihak luar yang ambil khazanah kita.

"Herba ini juga berdepan dengan kepupusan kerana sebahagian besarnya ditanam secara semulajadi...jika tidak ada usaha mengekalkannya, herba ini akan pupus dalam masa 20 tahun akan datang," katanya.

Sehubungan itu, beliau melihat galakan secara progresif bagi penanaman Tongkat Ali secara komersil dan perladangan mampu memastikan bekalan bahan mentah itu mencukupi bagi tujuan pasaran luar.

Selain itu, katanya, pengambilan secara berleluasa bahan mentah termasuk Tongkat Ali daripada hutan harus disekat dan penguatkuasaan perlu dipergiat bagi memastikan sumber hutan itu terpelihara untuk generasi akan datang.


"Kementerian juga mungkin menubuhkan Majlis Herba Negara dengan kerjasama Kementerian Kesihatan bagi membantu meningkatkan permintaan terhadap industri herba di negara ini khususnya Tongkat Ali," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan