Program Pati: Jangan Ambil Sikap Sambil Lewa - Nur Jazlan

Diterbitkan: Selasa, 23 Februari 2016 10:41 PM

Datuk Nur Jazlan Mohamed

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Majikan dan pendatang asing tanpa izin (Pati) diingatkan supaya tidak mengambil sikap sambil lewa atau tunggu dan lihat untuk mendaftar menerusi Program Penggajian dan Penempatan Semula Pati.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata mereka sepatutnya segera mengguna peluang itu dan bukannya menunggu saat akhir untuk berbuat demikian.

"Kita pernah melakukan program sama sebelum ini dan sekarang kita melaksanakannya sekali lagi bagi memberi peluang kepada majikan mendaftarkan pekerja mereka supaya PATI boleh mendapat permit kerja yang sah.

"Jangan tunggu saat-saat akhir kerana jika majikan dikesan menggunakan pekerja asing tidak sah, mereka boleh dikenakan denda dan ini akan merugikan mereka," katanya kepada Bernama di sini Selasa.

Beliau berkata Jabatan Imigresen giat melaksanakan operasi secara bersepadu bagi mengesan Pati di seluruh negara dan tindakan tegas akan dikenakan kepada majikan yang melindungi atau menggaji mereka.

Nur Jazlan berkata program itu yang turut dikenali sebagai Program 'Rehiring' bermula pada 15 Feb lepas dengan 8,689 permohonan daripada  1,144 majikan diterima sehingga semalam.

"Masih terlalu awal untuk menilai keberkesanan program ini yang dilaksanakan menerusi dalam talian dan semua pihak khususnya majikan perlu bersama dengan kerajaan untuk menjayakannya," katanya sambil menyangkal dakwaan kononnya program itu kurang mendapat sambutan daripada majikan.

"Ada pihak yang cakap program ini kurang berjaya dan tidak mendapat sambutan daripada majikan, tetapi saya ingin tanya kepada mereka apakah fakta yang mereka gunakan untuk membuat kenyataan sedemikian.

"Program ini masih awal, kita berharap mereka yang cakap program ini tidak mendapat sambutan membantu kerajaan menyelesaikan masalah Pati ini, bukannya hanya merungut dan komen sahaja," katanya.

Semalam, Setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) N. Gopal Krishnam berkata program itu kurang mendapat sambutan majikan manakala Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia Datuk Shamsuddin Bardan pula menyatakan program itu seperti dipandang dingin oleh majikan.

Mengulas lanjut mengenai situasi lambakan Pati di negara ini, Nur Jazlan berkata sebahagian besar masalah itu berpunca daripada sikap majikan sendiri yang mahukan pekerja asing tetapi tidak mahu bertanggungjawab ke atas mereka.

Katanya ada kalangan majikan yang menjanjikan gaji lumayan kepada pekerja asing namun apabila pekerja terbabit tiba di Malaysia, janji itu tidak dipenuhi menyebabkan mereka terpaksa mencari pekerjaan lain.

Situasi itu menyebabkan pekerja asing merasa teraniaya, hilang punca dan arah tujuan yang akhirnya mungkin menyebabkan mereka terlibat dalam masalah sosial yang menjejaskan keselamatan rakyat negara ini, katanya.

"Mereka (majikan) sendiri yang mahukan pekerja asing, selepas mereka dibenarkan menggaji pekerja asing, pekerja itu dianiaya kemudian semua pihak menunding jari menyalahkan kerajaan.

"Akhirnya kerajaan jugalah yang terpaksa menyelesaikan masalah yang ditimbulkan oleh sesetengah majikan yang tidak bertanggungjawab ini," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan