Pecat Dua Adun Dari GLC, Hubungan PKR-DAP Tegang

Diterbitkan: Selasa, 23 Februari 2016 5:06 PM

(Ubah saiz teks)

KLANG: Keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mempertahankan dua wakil rakyatnya di Pulau Pinang berhubung tindakan Ketua Menteri Lim Guan Eng terhadap mereka mungkin bakal menjadi permulaan kepada satu kejatuhan serius hubungan parti itu dan DAP.

Pensyarah dan penganalisis politik di Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata deklarasi terbuka Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali bahawa parti itu akan menyokong wakil rakyatnya juga merupakan petunjuk kepada masalah.

"Ia adalah konfrontasi langsung oleh Azmin dan ini boleh membawa kepada masalah yang serius antara kedua-dua parti," kata Dr Sivamurugan, Selasa.

Ong Chin Wen dan Cheah Kah Peng, yang merupakan Adun Bukit Tengah dan Kebun Bunga, telah disingkir keluar daripada kedudukan mereka dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Pulau Pinang kerana tidak mengundi menentang usul Umno semasa sidang Dewan Undangan negeri (Dun), akhir tahun lepas.

Umno telah membentangkan usul untuk menghentikan semua projek-projek penambakan kerajaan di pulau itu.

Menurut Dr Sivamurugan, apa yang telah dilakukan Guan Eng adalah untuk menunjukkan kuasa politiknya bahawa beliau boleh menyingkirkan sesiapa sahaja yang tidak bersetuju dengannya.

"Daripada menghormati perjanjian perkongsian kuasa antara rakan-rakan dalam Pakatan, Lim telah memulakan tindakan drastik terhadap kedua-dua mereka," katanya.

Adun Permatang (Umno) Datuk Sulaiman Abdul Razak bagaimanapun berkata, DAP dan PKR akan menyelesaikan perbezaan di antara mereka tidak lama lagi dan tidak akan membenarkan masalah itu membarah.

"Kedua-dua parti mempunyai hubungan yang sangat rapat, jadi mereka akan menyelesaikannya dan bergerak ke hadapan," katanya.

Tambahnya, Azmin awal-awal lagi telah memberi tindak balas kepada tindakan Guan Eng itu terhadap dua wakil rakyat PKR.

"Jika seseorang terpaksa memberi tindak balas, orang itu seharusnya presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan bukannya Azmin," katanya.

Sulaiman juga berkata Guan Eng perlu memastikan bahawa kedua-dua kerusi GLC yang dikosongkan itu diisi semula dengan wakil rakyat PKR.

Ahli Parlimen Klang (DAP) Charles Santiago berkata Guan Eng mempunyai kuasa prerogatif untuk melantik dan mengeluarkan sesiapa sahaja daripada GLC negeri.

"Apabila mengeluarkan dua Adun PKR, beliau telah menggunakan haknya.

"Kedua-dua wakil rakyat sepatutnya membincangkan mengenai perselisihan mereka ke atas projek-projek dengan kerajaan negeri terlebih dahulu daripada menyatakan perbezaan pendapat mereka dengan tidak mengundi menentang usul Umno," katanya.

Ahli Parlimen Selayang William Leong berkata Ong dan Cheah mengikut hati nurani mereka apabila mengundi usul itu, sambil menambah bahawa Pakatan begitu serius dalam isu-isu alam sekitar.

Bagaimanapun, beliau bersetuju bahawa Ong dan Cheah boleh berbincang kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum bertindak sendiri.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan