Dividen 6.4 Peratus KWSP Sangat Baik - Abdul Wahid

Diterbitkan: Selasa, 23 Februari 2016 1:34 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kadar dividen 6.4 peratus bagi 2015 yang diumumkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sangat baik berdasarkan konteks keadaan ekonomi global yang mencabar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata kadar itu adalah yang kedua tertinggi selepas dividen 6.75 peratus yang diumumkan pada tahun sebelumnya, selain antara yang tertinggi berbanding pencapaian dana-dana besar lain di luar negara.

"6.4 peratus sebenarnya sangat baik, dan sebagai pencarum yang mempunyai simpanan di KWSP, saya ucapkan terima kasih (kepada pengurusan KWSP) kerana saya boleh menggunakan wang itu.

"Jadi, saya ucapkan tahniah kepada pengurusan KWSP. Jika diikutkan, untuk menguruskan dana sebesar (kira-kira) RM680 bilion secara efektif bukanlah mudah untuk mendapatkan pulangan 6.4 peratus," katanya.

Abdul Wahid yang pernah menerajui Maybank ditemui pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Simposium Pengoperasian Agenda Pembangunan Mampan 2030 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, Selasa.

Sabtu lepas, KWSP mengumumkan kadar dividen 6.4 peratus bagi 2015, dengan pembayaran keseluruhan berjumlah RM38.24 bilion.

Sebanyak RM5.98 bilion diperlukan untuk membayar setiap satu peratus kadar dividen bagi tahun berkenaan, iaitu peningkatan 10.13 peratus berbanding RM5.43 bilion pada 2014.

Menurut KWSP, peningkatan itu seiring dengan pertumbuhan aset pelaburannya sebanyak RM684.53 bilion setakat 31 Dis 2015 manakala pendapatan kasar tumbuh 13.18 peratus kepada RM44.23 bilion berbanding RM39.08 bilion pada 2014.

Tags / Kata Kunci: KWSP

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan