Amat Mudah Beli Dan Jual Hidupan Liar Di Malaysia

Diterbitkan: Isnin, 22 Februari 2016 9:11 AM

(Ubah saiz teks)

EKSKLUSIF

KLANG: Biarpun pelbagai usaha diambil oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), ia masih mudah untuk membeli dan menjual hidupan liar di Malaysia terutamanya melalui media sosial yang menjadi platform untuk berurus niaga.

Wartawan The Star yang telah membuat satu perjanjian untuk membeli Helang Bondol atau Brahminy (Haliastur indus) iaitu salah satu spesies yang dilindungi sepenuhnya.

Selepas lebih 20 pesanan menerusi WhatsApp, burung yang dipesan itu boleh dimiliki dalam masa dua hari.

Harga helang itu hanya RM600 dan telah dihantar ke sebuah lokasi perniagaan salon rambut di sebuah pusat membeli belah di sini pada Jumaat lalu.

Di bawah Jadual II Akta Pemulihan Hidupan Liar 2010, sesiapa yang memiliki Brahminy atau juga turut dikenali 'lang merah' boleh didenda sehingga RM200,000, penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Penjualan haram  itu membuktikan  banyak tawaran terhadap hidupan liar yang berlaku di negara ini, terutamanya di Lembah Klang.

Sebelum pertemuan itu diatur, The Star telah menghubungi pegawai Perhilitan bagi memaklumkan perkara tersebut.

Beberapa minit sebelum urus niaga berlangsung, pegawai-pegawai Perhilitan tiba di salon yang dijanjikan dan telah menyelamatkan anak burung serta turut menahan tiga orang wanita.

Ketiga-tiga wanita itu dipercayai berusia 40-an telah dilepaskan selepas mengetahui mereka hanyalah orang suruhan, bukannya pemburu haram atau penjual sebenar.

Timbalan Ketua Pengarah I Perhilitan, Abdul Kadir Abu Hashim berkata satu unit khas ditubuhkan untuk menyiasat dan memantau  aktiviti jualan di laman sosial.

"Terdapat beberapa kumpulan dalam perhatian kami tetapi perlu mengambil masa untuk mengukuhkan profil rangkaian orang yang terlibat dalam perniagaan ini.

"Daripada pemburu haram, penjual dan orang tengah kemungkinan mereka adalah anggota keluarga atau kawan rapat," jelasnya.

Menurut satu sumber yang memberitahu The Star, dia telah berhubung lebih 35 kumpulan WhatsApp bagi berkongsi minat terhadap hidupan liar.

"Pada hakikatnya, kumpulan-kumpulan ini dibentuk dengan tujuan untuk menjana faedah pasaran bagi spesies yang dilindungi seperti kongkang, kucing harimau Asia dan juga anak  tapir," katanya.

Pada Julai  lepas, pasukan Perhilitan menahan empat lelaki dan menyelamatkan dua ekor orang utan selepas menerima maklumat tawaran jualan di laman sosial.

Tangkapan dan rampasan itu adalah sebahagian daripada jabatan Ops Taring III yang menyasarkan perdagangan haram hidupan liar dalam talian.

Orang utan itu diseludup dari Sumatera ke Malaysia oleh dua warga Indonesia dan menyerahkan kepada dua orang penduduk tempatan sebelum salah seorang daripada mereka mengiklankan penjualan di media sosial.

Abdul Kadir berkata, sikap tidak peduli dan jahil undang-undang  antara faktor peningkatan jualan haram hidupan liar di Malaysia.

Tags / Kata Kunci: Hidupan liar , penjualan haram

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Kolumnis

iklan

Iklan