Najib, Hishammuddin, KPN Lawat Pavilion

Diterbitkan: Isnin, 22 Februari 2016 9:45 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak meninjau operasi rondaan bersama Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia bagi menjaga keselamatan awam di sekitar ibu negara.

Perdana menteri singgah di pusat membeli-belah Pavilion di sini dan meluangkan masa kira-kira 45 minit untuk melihat operasi yang diadakan di situ oleh kedua-dua pasukan.

Turut hadir ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Panglima ATM Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Khalid berkata lawatan Najib ialah bagi meninjau operasi bersama PDRM dan ATM di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi menjaga keselamatan awam di sekitar Kuala Lumpur.

"Hasil perbincangan bersama PDRM dan ATM kami bersetuju untuk meneruskan rondaan sehingga kita rasa tidak perlu lagi," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Beliau berkata seramai 170 anggota PDRM dan 170 anggota ATM terlibat dalam rondaan yang dijalankan selama 24 jam sehari di sekitar kawasan tumpuan orang ramai di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Zulkifeli berkata rondaan bersama itu adalah untuk memantapkan lagi keselamatan dan keyakinan rakyat dan pelancong asing khususnya selepas insiden letupan yang berlaku di Jakarta pada bulan lepas.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan