Exco Perlis Nasihat Wanita Waspada Ambil Pil Kecantikan

Diterbitkan: Isnin, 22 Februari 2016 12:06 PM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Golongan wanita di negeri ini dinasihat agar berhati-hati apabila mengambil pil kecantikan kerana ia dikhuatiri mengandungi dadah terlarang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Kebajikan Negeri Perlis, Rela Ahmad berkata mereka perlu mendapat nasihat daripada doktor sebelum mengambil sebarang makanan tambahan kesihatan atau kecantikan yang terlalu banyak di pasaran.

"Demi untuk kelihatan cantik, seseorang wanita ada kalanya mudah tertipu terutama apabila pil-pil itu dikatakan mampu menguruskan badan mereka dalam masa singkat sehingga menyebabkan mereka ketagihan," katanya kepada Bernama.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Pengarah Pencegahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Abdul Rahman Hamid mengenai peningkatan bilangan penagih wanita dalam negara kebelakangan ini.

Peningkatan itu meningkat kepada empat peratus tahun lepas berbanding 0.1 peratus pada tahun sebelumnya.

Rela berkata wanita di Perlis perlu lebih berwaspada kerana kedudukan negeri ini yang berhampiran dengan sempadan antarabangsa yang menyebabkan mereka lebih terdedah kepada longgokan pil.

Beliau berkata menurut statistik AADK, seramai 1,188 penagih dadah direkod di Perlis tahun lepas, meningkat sebanyak 370 orang berbanding tahun sebelumnya dan 49 orang daripada jumlah itu adalah wanita. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Pil Kecantikan , AADK , Exco perlis

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan