Modul Rujukan PDRM Kurangkan Berat Badan Secara Sihat

Diterbitkan: Ahad, 21 Februari 2016 4:32 PM

Zulkifli turut menyertai aktiviti berkayak sejauh tiga kilometer di Putrajaya, Ahad.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan sedang menyediakan modul untuk dijadikan rujukan oleh seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengurangkan berat badan secara sihat.

Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Zulkifli Abdullah berkata garis panduan atau 'template' kesihatan itu disediakan berdasarkan prestasi penurunan berat badan, peratus lemak dan ukur lilit pinggang oleh warga polis yang menyertai program 'Trim and Fit 2016'.

Katanya template kesihatan itu, yang akan mengandungi pelan senaman dan pemakanan seimbang yang sesuai bagi warga polis, sedang dikaji dan dianalisis oleh Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKWPKL and P).

"Pelan kesihatan itu dijalankan berdasarkan apa yang sesuai untuk warga PDRM. Ada banyak garis panduan standard dicadangkan untuk pengurangan berat badan secara sihat dan ia tidak semestinya boleh dipratik oleh kita.

"Oleh itu, keputusan dan penilaian program perintis ini akan dijadikan kayu ukur bagi warga PDRM mengamalkan gaya hidup sihat secara berterusan di samping meningkatkan prestasi kerja," katanya selepas melancarkan aktiviti kayak sejauh tiga kilometer Program Trim and Fit 2016 di sini, Ahad.

Program Trim and Fit 2016, yang dilancarkan bulan lalu, diadakan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya buat julung kali bagi tempoh enam bulan melibatkan 35 pegawai dan anggota polis dari Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Menurut Zulkifli, program ini bertujuan menggalakkan warga PDRM mengamalkan gaya hidup sihat memandangkan tahun lepas, 250 warga polis meninggal dunia ketika menjalankan tugas akibat pelbagai penyakit.

"Setakat ini, saya berasa puas hati dengan komitmen peserta dan yakin program ini akan berjaya serta akan turut diperluaskan dalam kalangan warga polis di seluruh negara," katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah (Kanan) Cawangan Pemakanan JKWPKL and P Nor Azah Ahmad berkata pencapaian peserta program ini memberangsangkan apabila didapati para peserta, yang berat antara 62 hingga 104 kilogram, mencatat penurunan berat badan 100 peratus dalam julat seperti disarankan oleh kementerian.

Empat peserta juga telah bertukar status pemakanan daripada obes kepada lebih berat badan, dan 92 peratus peserta pula berjaya menurunkan ukur lilit pinggang dalam bulan pertama ini, jelas beliau.

"Peratus jisim lemak tubuh badan turun 100 peratus selain mengekalkan jisim otot sedia ada," katanya. -- Bernama


Tags / Kata Kunci: Trim and Fit , Bukit Aman , Zulkifli Abdullah

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan