Bayu Air Mengaku Belum Mohon Permit Penerbangan

Diterbitkan: Ahad, 21 Februari 2016 11:50 PM

Ketua Pegawai Eksekutif Bayu Mutiara Skyways Sdn Bhd, Mohd Saiful Rizal Raffien (tengah) beramah mesra dengan krew penerbangan yang menggayakan pakaian seragam Bayu Air pada majlis Pra Pelancaran Bayu Air, 16 Februari lalu. 
-fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan baharu, Bayu Air mengakui belum mengemukakan permohonan permit penerbangan atau lesen operasi penerbangan kepada Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Saifulrizal Raffien berkata pihaknya sedang menyediakan dokumen untuk permohonan permit perkhidmatan udara (ASP), dan akan menghantar permohonan itu kepada DCA dalam masa terdekat.

"Pra pelancaran dan sidang media pada 16 Februari lepas hanya untuk memberitahu kepada agensi pelancongan, Bayu Air ditubuhkan untuk memberi kemudahan kepada agensi pelancongan dari aspek perjalanan berkumpulan bagi pengerjaan Umrah dan pelancongan," katanya dalam kenyataan di sini, malam Ahad.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah DCA Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman hari ini, bahawa DCA tidak menerima sebarang permohonan sama ada bagi permit mahupun lesen untuk beroperasi daripada Bayu Air, setakat ini.

Azharuddin dilaporkan berkata pihaknya kesal dengan tindakan Bayu Air kerana membuat pengumuman berhubung permulaan operasi penerbangan mereka Ogos ini, sebelum memohon dan mendapat kelulusan yang diperlukan daripada pihak berkuasa.

Mohd Saifulrizal menjelaskan syarikat penerbangan itu tidak berhasrat untuk membelakangkan peraturan dalam Akta Penerbangan Awam di bawah peraturan 10 dan 17.

"Pihak Bayu Air tidak pernah menyatakan kami sudahpun mempunyai permit atau lesen penerbangan walaupun perancangan untuk beropersi sepenuhnya pada Ogos 2016. Perancangan itu juga tertakluk kepada kecepatan kelulusan permit dan lesen penerbangan Bayu Air," katanya.

Beliau turut memohon maaf atas kekeliruan yang tidak disengajakan itu.

Bayu Air dimiliki syarikat bumiputera Bayu Mutiara Skyways Sdn Bhd, ditubuhkan pada 2014 yang berpusat di Cyberjaya dengan mempunyai sehingga 300 kakitangan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan