Bike For Peace: Hanya Cabaran, Tiada Ketakutan Di Malaysia - Astora Jabat

Diterbitkan: Sabtu, 20 Februari 2016 5:04 PM

Astora Jabat

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Astora Jabat sedar dirinya perlu berdepan pelbagai rintangan sebelum dapat menyempurnakan misi kayuhan solonya ke seluruh negara Asean, tetapi beban mengayuh itu dirasakan sedikit ringan apabila roda basikalnya memasuki jalan-jalan di Malaysia.

Bekas wartawan Utusan Malaysia itu berkata, beliau tidak berdepan banyak masalah dan kesukaran ketika mengayuh di sini, malah menerima banyak bantuan sama ada berbentuk sokongan dan wang ringgit daripada rakyat Malaysia.

Ditambah dengan situasi aman di negara ini jika dibandingkan dengan tempat kelahirannya di Jabat, selatan Thailand yang tidak pernah sunyi dengan pergolakan dan bunyi bom, Astora fikir tiada apa yang perlu dibimbangkan untuk meneruskan misinya kali ini. 

"Di Malaysia, ketakutan itu tiada tetapi cabaran kayuhan tetap ada. Yang pasti, sama ada kenal saya atau tidak, rakyat di sini rata-rata beri sokongan dan saya diterima baik.

"Ada yang bagi air percuma dan beri sedekah. Kalau yang ikut perkembangan saya di Facebook, mereka akan tawarkan bantuan tempat tinggal seperti homestay atau motel untuk saya bermalam," katanya kepada mStar Online, Sabtu.

Astora yang membuat kayuhan Bike 'For Peace' demi mencapai keamanan dan perdamaian di selatan Thailand ditemui di sini ketika sedang berehat selama seminggu kerana masalah kesihatan.

Beliau memulakan kayuhan dari Thailand pada 1 Februari lalu dan setakat ini telah berkayuh memasuki Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak dan Selangor sebelum berhenti di Wilayah Persekutuan pada 17 Februari. Jarak kayuhannya kini dianggarkan 700 kilometer.

"Saya berhenti mengayuh sekejap sebab badan saya sakit-sakit. Saya akan mulakan semula kayuhan  pada 25 Februari ini ke selatan tanah air sebelum pulang semula ke kampung halaman saya di Jabat," katanya.

Bergambar kenangan bersama pengayuh muda dari Ipoh yang ditemui di Taman Budaya, Kuala Kangsar.

Wartawan berusia 63 tahun yang beberapa penulisannya pernah menjadi kontroversi ini berkata, selepas Malaysia, basikal lasak jenis Fuji yang dikayuhnya akan memasuki Kemboja, Vietnam, Laos, Myanmar, Indonesia, Brunei, Filipina dan Timor Leste sebelum misi Bike 'For Peace' berjaya.

"Basikal ini pun saya beli dengan duit sumbangan seseorang dari negara ini. Harga lebih RM3,000 dan apabila ditambah aksesori nilainya cecah RM6,000," katanya.

Namun, Astora yang berkhidmat selama 19 tahun bersama Utusan Malaysia ini tidak pernah menetapkan sasaran atau tempoh masa untuk melengkapkan kayuhannya.

"Saya jangka makan masa sembilan bulan hingga setahun tapi ia bergantung kepada negara itu sendiri dan faktor lain.

"Mungkin tempohnya lebih panjang. Seperti saya kata, di Malaysia saya tiada banyak masalah, begitu juga Singapura. Tapi tidak di negara-negara yang luas seperti Indonesia," jelasnya.

Mengulas pengalaman mengayuh basikal di Malaysia, Astora berkata, cabaran sewaktu berkayuh di laluan berbukit di Bukit Gantang, Perak dan di Puncak Alam, Selangor adalah sesuatu yang sukar dilupakan.

"Itulah cabaran saya di Malaysia setakat ini di mana saya perlu mengayuh basikal di laluan berbukit dalam jarak dua hingga tiga kilometer. Memang menguji ketahanan fizikal dan mental sebab cuaca panas," katanya yang biasanya akan berkayuh pada jarak 110 hingga 120 kilometer sehari.

Astora sempat berselfie semasa misi kayuhannya. - Gambar Facebook

Sering mengutamakan aspek keselamatan, pemakanan dan kesihatan, Astora berkata, beliau lebih gemar berkayuh secara individu dan santai sambil bertemu dengan kelompok masyarakat, terutama di Malaysia sebagai sebahagian daripada misinya.

Justeru, beliau memilih jalan kampung berbanding laluan lebuhraya bagi memastikan beliau dapat bertemu dengan segenap lapisan masyarakat.

Beliau yang kini menetap di Thailand dan menulis untuk akhbar harian Thailand, Khaosod, akan memastikan terlebih dahulu menyiapkan satu artikel sebelum meneruskan kayuhannya. Biasanya kayuhan akan bermula pada waktu pagi berbekalkan kamera, iPad dan beberapa helai baju nipis dan seluar.

Basikal yang digunakan Astora untuk menjelajah ke seluruh negara Asean.

"Walaupun masih samar-samar, usaha ke arah perdamaian di selatan Thailand perlu dilakukan secara berterusan.

"Saya sebagai wartawan mengambil inisiatif menyebarkan perdamaian khususnya melalui masyarakat majmuk di Malaysia yang boleh hidup bersama-sama dalam sebuah negara," katanya.

Ditanya bagaimana misi serta kayuhannya dapat membantu ke arah perdamaian di selatan Thailand, Astora berkata, beliau melakukannya melalui penulisan dan tayangan video dokumentari di televisyen dan media sosial.

Beliau berkata, dengan jutaan pengikut di laman sosial dan pembaca di Thailand dan Malaysia, beliau yakin sedikit-sebanyak akan berlaku perubahan pemikiran.

"Penerimaan terhadap penulisan saya bagus, kesannya (perdamaian) memang kita tak nampak, tapi bila orang baca penulisan kita, dapat diramal akan berlaku perubahan dalam pemikiran," katanya.

Beliau menambah, dengan ketiadaan penaja, apa yang mampu dilakukannya adalah dengan 'menjual' tulisan dan video yang dirakamkan sepanjang melengkapkan misi ini.

"Saya tak ada penaja, bukan tak mahu, memang nak. Bila tak ada siapa yang taja, kita buat dengan 'jual' tulisan dan video," katanya.

iklan

Video

Isnin, 23 Oktober 2017 5:54 PM

Adam, Ezlynn Tuduh Menuduh! Mana Satu Betul?

Isnin, 23 Oktober 2017 4:10 PM

Kiriman Akhir Sebelum Karam

Isnin, 23 Oktober 2017 2:30 PM

Mona Bukan Kehidupan Saya - Shahir

Isnin, 23 Oktober 2017 1:31 PM

Tragedi Tanah Runtuh: Semua Mayat Dijumpai

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Kolumnis

iklan

Iklan