Pertemuan Dengan SPRM Batal Kerana Apandi Ada Mesyuarat Lain

Diterbitkan: Jumaat, 19 Februari 2016 11:30 AM

Tan Sri Mohamed Apandi Ali

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Khabar angin menyatakan bahawa sesi pertemuan dengan dua panel Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan Peguam Negara yang dirancang telah dibatalkan kerana Tan Sri Mohamed Apandi Ali terpaksa menghadiri mesyuarat lain.

Difahamkan, Apandi membatalkan sesi pertemuan dengan ahli-ahli Panel Penilaian Operasi (PPO) dan Panel Khas SPRM dibuat pada saat akhir.


Sumber di SPRM berkata mereka dimaklumkan mengenai perkara itu kira-kira pukul 3 petang Rabu oleh Jabatan Peguam Negara bahawa sesi itu tidak akan diadakan. Tiada sebab diberikan.

Percubaan untuk mendapatkan Apandi atau kakitangannya untuk menjelaskan mengenai pembatalan itu atau sama ada tarikh baharu telah ditetapkan tidak berjaya.

Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata: "Saya telah dimaklumkan mengenai pembatalan itu oleh SPRM kira-kira pukul 6 petang.

"Saya pasti mesyuarat lain yang terpaksa dihadiri AG adalah penting, oleh itu beliau terpaksa membatalkan pertemuan dengan kita. Tetapi saya pasti kita akan mempunyai sesi pertemuan dengan beliau tidak lama lagi. "

Tunku Aziz berkata apa yang lebih mengejutkan apabila pembatalan itu disensasikan.

"Ramai orang yang membaca mengenai perkara ini, sama seperti bagaimana mereka membuat spekulasi mengapa kita bertemu dengan AG. Jangan bimbang, saya pasti kita akan mendapat tarikh baharu tidak lama lagi," katanya.

Mengenai isu penggal, Tunku Aziz menjelaskan bahawa badan-badan pengawasan bebas SPRM tidak mempunyai 'tarikh luput' tetapi pelantikan ahli-ahlinya mempunyai tempoh masa tertentu.

Tempoh perkhidmatan beliau sebagai pengerusi penasihat tidak mempunyai tarikh akhir.

Minggu lalu, lembaga penasihat SPRM mengesahkan akan mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara dan pegawainya pada 18 Februari untuk membincangkan isu-isu yang melibatkan kedua-dua pihak, termasuk keputusan siasatan terhadap SRC International dan sumbangan politik RM2.6 bilion.

Pada 26 Januari, Pejabat Peguam Negara telah membebaskan Datuk Seri Najib Tun Razak daripada sebarang kesalahan jenayah ke atas derma RM2.6 bilion itu.

Apandi juga telah mengarahkan SPRM, yang mengemukakan kertas siasatan untuk menutup fail.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan