Bantuan Kepada Peneroka Ditentukan Selepas Moratorium Berakhir

Diterbitkan: Jumaat, 19 Februari 2016 3:58 PM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Bantuan kepada peneroka yang terjejas pendapatan berikutan pelaksanaan moratorium perlombongan bauksit di Bukit Goh  di sini akan ditentukan selepas moratorium berakhir April ini, kata Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Beliau berkata, Felda perlu menunggu keputusan sama ada aktiviti perlombongan bauksit akan diteruskan dengan garis panduan baharu atau sebaliknya sebelum mempertimbangkan sebarang bantuan.

"Kalau tanya saya pasal perancangan sekarang untuk membantu peneroka (yang terlibat perlombongan bauksit dan terjejas pendapatan)... masih terlalu awal.

"Tidak tahu lagi sama ada perlombongan bauksit ini diteruskan ataupun tidak, selepas itu baru boleh kita tengok bahagian mana yang boleh tolong peneroka," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Sehubungan itu, beliau sekali meminta peneroka terlibat agar bersabar sementara kerajaan mengenal pasti garis panduan baharu yang efektif bagi  aktiviti perlombongan bauksit.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Bertindak Bauksit Bukit Goh Datuk Dr Abdul Wahid Manap meminta kerajaan termasuk Felda memberi perhatian terhadap permasalahan yang dihadapi peneroka terlibat.

Beliau berkata ini kerana ada peneroka mengalami kerugian apabila terdapat pengusaha bauksit didakwa menjalankan kegiatan perlombongan secara haram selain mengorek bauksit di kawasan tidak dibenarkan termasuk tapak perumahan.

"Saya memang tidak nafi semasa peneroka menandatangani perjanjian dengan pengusaha bauksit mereka tidak berbincang terlebih dahulu dengan pengurusan Felda untuk mengetahui isi kandungan perjanjian tersebut ... saya dapat tahu ada juga peneroka kena tipu," katanya.

Abdul Wahid berkata bagaimanapun mana-mana pihak tidak boleh menyalahkan peneroka sepenuhnya kerana sedia maklum bahawa peneroka tidak ada pengalaman dan ilmu mengenai perlombongan bauksit.

"Jadi saya harapkan supaya kerajaan dan juga Felda mencari pendekatan membantu peneroka ini dengan memberi mereka peluang untuk menjalani kehidupan lebih baik selepas ini," katanya.

Beliau berkata sebanyak 248 daripada 671 peneroka di Felda Bukit Goh terlibat dengan perlombongan itu yang membabitkan 33 pengusaha bauksit.

Tags / Kata Kunci: Felda

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan