Sumbangan Politik Tidak Dikenakan Cukai - CEO LHDN

Diterbitkan: Selasa, 16 Februari 2016 4:54 PM

Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar

(Ubah saiz teks)

SUBANG: Penerima sumbangan politik tidak perlu membayar cukai ke atas wang yang diterima, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar.

"Bagi saya, jika pendapatan itu tidak tertakluk kepada cukai, maka ia tidak boleh dikenakan cukai. Sumbangan politik tidak tertakluk kepada cukai," kata Mohd Shukor selepas merasmikan seminar separuh hari bertajuk 'Setahun Bagi Cukai Akhir : Isu dan Cabaran' anjuran bersama LHDN dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) di sini, Selasa.


Mohd Shukor berkata demikian ketika ditanya jika sumbangan politik tertakluk kepada cukai.

Ini merujuk kepada posting blog oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang bertanya jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mendedahkan penerimaan sumbangan besar yang disalurkan kepadanya dalam akaun bank peribadinya kepada LHDN.

Sementara itu Mohd Shukor berkata LHDN menyasarkan meraih kutipan cukai lebih RM1 bilion tahun ini berikutan pengurangan penalti terhadap pembayar cukai sepertimana diumumkan dalam pengubahsuaian Bajet 2016.

Katanya, kutipan cukai bagi tahun lepas mencecah hampir RM1 bilion.

"Kita turut memberi kelonggaran sama pada tahun lepas dan berusaha dalam skala kecil. Namun, bagi tahun ini, kita akan melipatgandakan usaha untuk mencapai sasaran yang ditetapkan itu," katanya.

LHDN baru-baru ini mengumumkan pengurangan penalti terhadap pembayar cukai yang membuat pengakuan secara sukarela bagi tempoh antara 1 Mac hingga 15 Disember, 2016.

Pengurangan itu bagi pembayar cukai yang masih belum mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) atau Borang Nyata Petroleum (BNP) bagi tahun ke belakang serta mereka yang mahu melaporkan maklumat tepat dalam borang yang dihantar sebelum ini.

Ia susulan pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pengubahsuaian Bajet 2016 pada 28 Januari lepas mengenai kelonggaran penalti ke atas pembayar cukai bagi menggalakkan mereka tampil secara sukarela melaporkan pendapatan bagi tahun-tahun sebelum ini.

Selain itu, Mohd Shukor berkata pihaknya akan turut membantu pembayar cukai yang terjejas akibat cabaran ekonomi semasa.
Namun, tegasnya, mereka masih perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan LHDN.

Mengulas laporan bahawa kelompok pengelak cukai yang tinggi merangkumi  profesional seperti peguam, doktor dan artis, beliau berkata mereka sememangnya menjadi sasaran agensi itu pada tahun ini.

"Setiap profesional adalah dalam pemantauan kita. Mereka ini dikenali ramai dan sebagai golongan profesional, mereka perlu berperanan sebagai pembayar cukai yang baik," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan