Latihan Ketenteraan Di Arab Saudi Tiada Kaitan Kempen Ketenteraan Terhadap Yemen

Diterbitkan: Selasa, 16 Februari 2016 7:11 PM

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Latihan ketenteraan yang disertai 20 negara termasuk Malaysia di utara Arab Saudi, tidak ada kaitan langsung dengan kempen ketenteraan terhadap Yemen, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, Hishammuddin berkata latihan "Thunder of the North" yang diadakan mulai Selasa hingga 4 Mac, merupakan latihan ketenteraan pelbagai negara yang telah wujud lebih 15 tahun lalu, dan diadakan sebelum operasi ketenteraan di Yemen lagi.

Katanya latihan di kawasan latihan Hafar Al Batin di wilayah utara Arab Saudi itu merangkumi pasukan darat, laut dan udara.

"Saya ingin mengesahkan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak menyertai sebarang kempen ketenteraan yang diterajui oleh Arab Saudi dalam menentang pemberontakan di Yemen seperti mana yang digembar-gemburkan dalam media sosial.

"Saya konsisten menyatakan bahawa Malaysia menyokong sebarang usaha membanteras kegiatan militan, namun ATM tidak terlibat dengan sebarang operasi ketenteraan di dalam Yemen," katanya.

Katanya ATM dijemput pihak Arab Saudi untuk menyertai latihan itu dan mengambil kesempatan yang ada bagi menimba pengalaman operasi ketenteraan dalam suasana yang amat berlainan di Malaysia.

Beliau berkata latihan di kawasan teluk ini adalah yang pertama kali disertai oleh ATM dan ia memberi manfaat yang besar serta pengalaman yang amat berguna kepada ATM pada masa depan.

"Selain itu, latihan ini juga memberi peluang kepada ATM untuk lebih memahami prosedur-prosedur berkaitan bantuan kemanusiaan dan bencana yang mungkin dilaksanakan kelak khususnya dalam operasi menyelamat serta membawa keluar warga Malaysia jika berlaku konflik di rantau tersebut," katanya.

Hishammuddin berkata dalam usaha menjadikan ATM sebagai sebuah angkatan yang kredibel di rantau ini, ATM akan sentiasa mengambil kesempatan dan peluang untuk melatih warganya dalam pelbagai situasi serta suasana serta membolehkan ATM beroperasi dalam pelbagai rupa bumi.

"Latihan ketenteraan yang dinamakan Thunder of the North ini diadakan di utara Arab Saudi, sementara Yemen terletak di bahagian selatan sempadan Arab Saudi," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan