'Kumpulan Mafia' Jual Nombor Plat Kenderaan Pada Harga Tinggi

Diterbitkan: Selasa, 16 Februari 2016 8:48 AM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Anda mahukan nombor pendaftaran khas? Tiada masalah. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjualnya pada harga RM10,000. Anda boleh memilikinya dengan harga RM150,000.

Sebuah 'kumpulan mafia' kelihatan mengawal bidaan rebutan nombor plat kenderaan, membeli dan menyembunyikan nombor tersebut sebelum bertindak menjualnya dengan harga yang lebih tinggi.

Pemilik kenderaan yang mengintai nombor plat popular perlu melalui ejen ini dan runner mereka yang mengemukakan bidaan lebih awal untuk nombor tersebut selepas menawarkannya kepada pembeli yang berminat.

Ejen-ejen ini juga bersikap berani dengan mendakwa mereka melakukan kegiatan tersebut dengan kelulusan pihak berkuasa.

Seorang runner yang hanya mahu dikenali sebagai Matthew mendakwa dia dan beberapa rakan sekerjanya mempunyai pejabat di jabatan tersebut.

"Kami biasanya akan menunggu di sana. Apabila ada permintaan, kami akan membuat pra tempahan secara peribadi, pegawai akan membawanya ke pejabat kami dan kami akan berunding mengenai urus niaga itu," dakwanya.

Menjelaskan peranan runner, Matthew berkata mereka hanya akan membuat tempahan atau terlebih dahulu membeli nombor tersebut.

"Mereka akan beri kita tempoh masa untuk memeriksa jika nombor tersebut masih ada. Namun kami tidak boleh mendapatkan 'nombor VIP' kerana kebanyakannya ditempah untuk ahli keluarga dan rakan-rakan VIP.

"Nombor plat perlu didaftarkan untuk kenderaan dalam tempoh sebulan selepas membuat pembelian, jika gagal kami mencari pembeli, kami akan membayar sejumlah kecil wang bagi melanjutkan tempoh akhir itu atau membeli motosikal murah untuk dipakaikan dengan nombor plat tersebut," katanya.

Matthew berkata terdapat sebuah kedai motosikal dekat pejabat JPJ di mana runner boleh secara peribadi membawa pelanggan untuk memilih nombor yang mereka kehendaki.

Beliau berkata beberapa pelanggan mahukan bukti bahawa nombor yang mereka inginkan masih ada.

"Kami kemudiannya membawa mereka ke sebuah kedai dan menunjukkan nombor itu kepada mereka atau mengambil gambar motosikal dengan nombor plat tersebut dan menghantarnya kepada mereka,," katanya.

Sebagai contoh, Matthew berkata mereka mungkin menjual nombor plat tersebut dengan harga RM2,000 di samping mengenakan bayaran tambahan RM2,500 untuk motosikal tersebut, bergantung kepada model enjin.

"Jika pembeli tidak mahu motosikal tersebut, mereka akan mengenakan harga berbeza untuk mereka.

Nombor pendaftaran tersebut kemudiannya akan dipindahkan ke kenderaan pembeli.

Matthew mendakwa runner yang mengiklankan tawaran nombor pendaftaran di laman web akan mengenakan bayaran khas untuk nombor menarik.

Nombor seperti 2222 atau 5757 berharga antara RM2,000 dan RM7,000 manakala nombor istimewa seperti 3636 berharga tidak kurang daripada RM5,000.

"Bagi nombor berharga seperti 33 atau 77, ia boleh dijual dengan harga enam digit," katanya.


Tags / Kata Kunci: JPJ , nombor pendaftaran khas , mafia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan