Industri Halal Malaysia Berpotensi Tarik Minat Kukuh Pengguna Seluruh Dunia

Diterbitkan: Selasa, 16 Februari 2016 8:01 PM

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap merasmikan Forum Industri Produk Kosmetik dan Penjagaan Diri Halal, Selasa.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Industri halal Malaysia menerima pelaburan bernilai RM10.6 bilion pada 2015 dengan RM5.6 bilion pelaburan asing dan bakinya pelaburan tempatan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pelabur asing datang dari AS, Jepun, Itali, Emiriah Arab Bersatu, Taiwan, United Kingdom dan Singapura.

Beliau berkata produk halal tempatan akan terus menarik minat kukuh pengguna di seluruh dunia dengan eksport bernilai RM42 bilion tahun lepas, meningkat daripada RM38 bilion pada 2014.

"Kebanyakannya disumbang oleh eksport ramuan halal, produk makanan dan minuman halal, serta derivatif minyak sawit.

"Pasaran eksport utama kita termasuk China, Singapura, Amerika Syarikat, Indonesia dan Jepun," katanya semasa merasmikan Forum Industri Produk Kosmetik dan Penjagaan Diri Halal, di sini Selasa.


Ahmad Zahid turut menekankan kepentingan meneroka potensi spektrum lebih luas pasaran termasuk perkhidmatan, perbankan dan insurans, selain sektor makanan dan minuman.

Katanya Malaysia berada di kedudukan yang baik untuk memaksimumkan potensinya dalam sektor halal termasuk produk kosmetik dan penjagaan diri halal.

Beliau berkata kepelbagaian flora dan fauna negara menawarkan peluang luas yang boleh dimanfaatkan oleh sains moden dan bioteknologi untuk membangunkan lebih banyak produk biogenerik berasaskan sumber semula jadi.

"Kita telah mencatat pencapaian yang signifikan dalam membangunkan teknologi berasaskan kelapa sawit apabila sebahagian besar minyak berasaskan haiwan boleh diganti dengan produk berasaskan minyak sawit.

"Alternatif yang halal diperbuat daripada minyak sawit seperti koenzim (Q10) dan pengemulsi halal diguna secara meluas dalam industri.

"Apa yang diperlukan ialah penyelidikan dan pembangunan (R and D) lebih intensif serta lebih banyak inovasi untuk menghasilkan alternatif halal menggunakan derivatif minyak sawit bagi menggantikan ramuan bersumberkan bahan tidak halal," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Halal Malaysia, berkata industri kosmetik dan penjagaan diri halal Malaysia mencatat prestasi memberangsangkan selama ini dengan eksport meningkat daripada RM1.3 bilion pada 2010 kepada RM2.3 bilion pada 2014, iaitu kenaikan tahunan purata 20 peratus.

Setakat ini terdapat 128 syarikat yang memiliki pensijilan halal di Malaysia, mengeluarkan produk kosmetik dan penjagaan diri patuh syariah.

Ahmad Zahid berkata sekalipun Asia kekal pasaran tradisional paling kukuh Malaysia bagi produk halal, AS yang mempunyai kira-kira lapan juta penduduk Islam dan Eropah dengan 40 juta orang Islam, menawarkan peluang besar untuk pasaran bertumbuh.

"Menurut pemantau Eropah, pasaran ini dianggar bernilai lebih US$454 bilion pada 2014.

"Jika kita anggar permintaan terhadap produk kosmetik dan penjagaan diri halal sekitar 10 peratus, ini bermakna ia menawarkan sekurang-kurangnya US$45 bilion," katanya.

Sehubungan itu kata beliau, sewajarnya peserta industri menimbang secara serius akan pengeluaran produk dan prosedur patuh syariah.

Ahmad Zahid turut menggesa sektor swasta memperhebat pelaburan dalam bidang baharu, menambah baik fasiliti sedia ada, meningkatkan penyelidikan dan pembangunan, membeli teknologi baharu dan meningkatkan kegiatan pemasaran dan promosi.

"Menjadi harapan saya untuk melihat sektor swasta memacu pembangunan industri ini bagi memastikan Malaysia terus menjadi peneraju dalam membentuk industri halal global," katanya.


Turut hadir pada majlis itu ialah bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi serta Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lee Chee Leong.

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan