Kegiatan Lanun, Rompakan Laut Menurun Kepada Dua Kes Setahun - APMM

Diterbitkan: Isnin, 15 Februari 2016 9:15 AM

Datuk Ahmad Puzi Ab. Kahar

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Sejak mengambil alih kawalan kawasan perairan dan wilayah pantai Malaysia 11 tahun yang lalu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah berjaya mengurangkan kegiatan lanun dan rompakan laut kepada hanya dua kes setahun.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab. Kahar berkata 38 kes dilaporkan di Selat Melaka pada tahun 2004 tetapi apabila APMM ditubuhkan pada tahun berikutnya, hanya 10 kes berlaku.

"Sejak itu, ia berada dalam aliran menurun dengan dua kes dilaporkan pada tahun 2014 dan satu kes pada tahun lepas," katanya dalam satu temu bual.

Katanya, tugas ini bukanlah satu tugas yang mudah kerana mereka terpaksa melawan lanun, rompakan laut, penyeludupan manusia dan penyeludupan.

Dengan lebih 20 tahun pengalaman bersama tentera laut,  Ahmad Puzi menekankan integriti dan kejujuran di kalangan anggotanya.

"Apabila anda berada di laut, anda perlu percaya dengan orang yang dekat dengan anda. Apa-apa sahaja boleh berlaku di luar sana.

"Disiplin kami sangat ketat. Sepanjang 11 tahun berkhidmat, hanya 30 anggota telah dilepaskan daripada salah laku, " katanya.

Agensi itu, katanya, telah bekerjasama dengan polis marin, tentera laut dan Jabatan Laut untuk mengawal pantai.

Ahmad Puzi berkata tugas mereka adalah untuk membuat kawalan di sepanjang lebih 6,000km perairan pantai dan sempadan, di mana pengumpulan maklumat risikan adalah penting dalam menjalankan rondaan laut.

"Penyeludup, pengendali feri haram dan sindiket jenayah sentiasa menukar laluan mereka dan titik pendaratan untuk mengelak tangkapan. Kami mempunyai perkongsian risikan yang lancar dengan agensi-agensi yang terlibat," katanya yang menolak dakwaan tentang hubungan tidak baik di antara APMM dan agensi-agensi lain.

Beliau berkata sejak 2006, seramai 6,734 anak kapal nelayan asing telah ditangkap.

Daripada 840 buah bot yang disita, ada yang diserahkan kepada Jabatan Pertahanan Awam manakala yang lain ditenggelamkan untuk digunakan sebagai terumbu karang tiruan.

Mengenai penglibatannya di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), beliau berkata empat pos baharu telah diwujudkan untuk meningkatkan keupayaan penguatkuasaannya.

"Keempat-empat pangkalan baharu akan berada di Lahad Datu, Kudat, Tawau dan Sandakan. Kami menambah stesen udara di Kota Kinabalu.

"Kami juga mempunyai empat buah bot Seahawk dan tiga bot Cenderawasih yang sedang melakukan rondaan dalam kawasan Esscom," kata beliau.

Mengenai anggota militan Negara Islam, Ahmad Puzi berkata anggotanya telah menjalankan pemeriksaan terhadap kapal dan bot untuk memastikan pengganas tidak tiba di bumi Malaysia.

Katanya, APMM juga sedang memantau kakitangannya bagi memastikan tiada yang bersimpati dengan mereka.
Tags / Kata Kunci: APMM , Esscom , Datuk Ahmad Puzi Ab. Kahar

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan