Misi Penyelidik Malaysia Ke Antartika Berjaya

Diterbitkan: Isnin, 15 Februari 2016 8:21 AM

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah menyambut kepulangan para peserta Ekspedisi Penyelidikan Antartika Malaysia 2016 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Ahad. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Sekumpulan lapan penyelidik dari enam universiti awam dan swasta yang menyertai Penyelidikan Saintifik Malaysia ke Antartika 2016 berjaya mencapai matlamatnya dengan membawa pulang lebih 200 sampel dari benua itu.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata para penyelidik itu telah mengumpul sampel air, alga, sedimen, lumut, batuan, haiwan tidak bertulang belakang dalam lautan, debunga dan tanah.

Beliau berkata kumpulan pensyarah itu juga merekodkan bacaan gas rumah hijau dalam udara serta data geomagnetik sepanjang pelayaran saintifik selama 22 hari ke benua Antartika bermula 18 Januari lepas.


"Sampel-sampel dan bacaan yang direkodkan adalah untuk beberapa kajian-kajian saintifik yang berhubung kait antara Antartika, biodiversiti dan perubahan iklim, dengan penekanan kepada kajian gas rumah hijau dan lapisan ozon," katanya.

Abu Bakar berkata demikian selepas menyambut kepulangan penyelidik-penyelidik berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.


Program 'Ekspedisi Penyelidikan Antartika Malaysia 2016' dengan kos RM450,000 merupakan penjelajahan pertama dibiayai geran penyelidikan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) ke benua berkenaan dan mendapat kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Menurut Abu Bakar, hasil kajian-kajian ini akan dapat menyumbang kepada penjanaan ilmu dan pengetahuan baharu yang boleh membantu masyarakat tempatan dan global untuk lebih memahami fenomena perubahan iklim.

Katanya, kajian dijalankan di Antartika kerana wilayah polar merupakan kawasan yang amat sesuai untuk pemantauan perubahan iklim disebabkan kadar pemanasan di wilayah ini adalah lebih tinggi dibandingkan dengan kawasan-kawasan lain di dunia.

"Penemuan dari penyelidikan oleh kumpulan penyelidik ini akan dibentangkan pada Persidangan Sains Jawatankuasa Saintifik Penyelidikan Antartika (SCAR) 2016 yang berlangsung pada Ogos nanti," katanya.

Sementara itu, Ketua Ekspedisi yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Mohamad Huzaimy Jusoh berkata ekspedisi ini sangat mencabar kerana mereka terpaksa berdepan dengan ombak setinggi enam meter dan angin kencang dengan kelajuan sehingga 80 kilometer sejam.

"Oleh itu, para peserta yang telah berlepas dari Pelabuhan Ushuaia di Argentina pada 18 Jan terpaksa membuat pusingan balik akibat cuaca buruk dan angin kencang sebelum sempat melalui Drake Passage.

"Angin kencang dan ombak kuat, (menyebabkan) kapal layar Yacht Autralis milik Australia hanya boleh bergerak pada kelajuan 20 kilometer sejam dan membuatkan kami hanya terbaring. Kami hanya makan snek dan mengambil wuduk dalam posisi baring," katanya.

Dr Mohamad Huzaimy berkata kumpulan ekspedisi kemudiannya memulakan pelayaran semula ke Antartika pada 22 Jan dan cubaan kali kedua telah selamat membawa mereka tiba di benua berais.

"Semasa di Antartika, mereka sempat singgah di Stesen Penyelidikan King Sejong milik Korea Selatan yang terletak di Pulau King George," katanya.

Antara tapak-tapak persampelan sepanjang ekspedisi ini ialah Pulau Greenwich , Pulau Deception, Pulau Darboux, Pantai Danco, Teluk Paradise, Pulau Enterprise dan Pulau Trinity, katanya.

"Kesemua penyelidik dan saintis yang terlibat membawa kajian masing-masing dan saya (emngambil) sampel di lapan lokasi bagi kajian magnet bumi dan elektromagnetik di Kutub Utara dan Kutub Selatan," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan