Pelarian Syria Perlu Jalani Tapisan Keselamatan - Zahid

Diterbitkan: Sabtu, 13 Februari 2016 10:38 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Setiap pelarian Syria yang dibawa masuk ke Malaysia perlu menjalani tapisan keselamatan bagi memastikan mereka bukan anggota Daesh atau tidak terlibat dalam aktiviti militan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata proses tapisan itu dijalankan menerusi Sistem Tapisan Awal Penumpang (APSS) dengan kerjasama Polis Antarabangsa (Interpol) dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

"Kita ambil langkah ini untuk lihat latar belakang pelarian terutamanya jika ada dalam kalangan mereka yang secara langsung atau tidak langsung terlibat denagn Daesh, umpamanya.

"Sudah pasti kita beri keutamaan kepada aspek keselamatan jika mereka ingin berada di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas melancarkan skuter elektrik Mini MAD Velocifero Malaysia di sini, Sabtu.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas langkah kerajaan untuk memastikan pelarian Syria yang masuk ke negara ini bukannya kalangan anggota militan Daesh.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sesi Ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Oktober lepas mengumumkan Malaysia akan membuka pintunya kepada 3,000 pelarian Syria dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi membantu meringankan krisis pelarian.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata bagi peringkat pertama, sebanyak lima keluarga pelarian Syria telah berada di Malaysia dan kerajaan dalam proses membawa masuk kumpulan kedua pelarian itu.

"Kita akan utamakan pelajar Syria di Malaysia yang berhasrat membawa keluarga mereka ke negara ini, keluarga pekerja Syria yang telah bekerja di Malaysia seperti chef yang bekerja di restoran dan keluarga golongan profesional seperti doktor perubatan atau yang terlibat dalam bidang kejuruteraan," katanya.

Sementara itu, ketika mengulas keputusan membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh ke Malaysia, Ahmad Zahid sekali lagi menegaskan ia dibuat bukan atas kehendak kerajaan tetapi atas permintaan pasaran.

Beliau berkata kerajaan hanya memenuhi kehendak pihak majikan yang merungut bahawa perniagaan atau perusahaan mereka merosot kerana kekurangan pekerja.

"Bukan kerana kerajaan nak kutip levi dan bukan kerana nak sekat peluang rakyat Malaysia tetapi rakyat Malaysia tidak mahu bekerja dalam sektor tertentu seperti perladangan dan pembinaan.

"Berapa ramai yang mahu berpanas, berhujan dalam sektor pembinaan. Berapa ramai yang nak kerja dalam sektor 3D (Bahaya, Kotor dan Sukar). Jangan lihat dari aspek negatif tetapi lihat dari aspek permintaan majikan, aspek untuk pembangunan ekonomi, jangan salahkan kerajaan," katanya.

Mengenai dakwaan bahawa permintaan itu tidak pernah dibuat oleh Persatuan Pengusaha-Pengusaha Kilang Malaysia, beliau berkata walaupun persatuan itu tidak membuat permohonan itu tetapi ada anggotanya yang mengemukakan permohonan terus kepada pihak Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri.

"Saya harap mereka akan semak dengan anggota mereka sama ada benar mereka atau pihak majikan memohon terus kepada tiga agensi ini," katanya.

Ahmad Zahid sebelum ini menjelaskan bahawa kemasukan pekerja Bangladesh tidak akan dibuat secara serentak, sebaliknya dilaksanakan dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

Tags / Kata Kunci: Ahmad Zahid Hamidi

iklan

Video

Jumaat, 18 Ogos 2017 12:33 PM

Temui Cincin Pada Lobak Selepas 13 Tahun Hilang

Jumaat, 18 Ogos 2017 12:00 PM

Jantina Belum Tahu Lagi! - Ezzaty Abdullah

Jumaat, 18 Ogos 2017 8:00 AM

#akuStar: Slash - Melodi Kasih

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Kolumnis

iklan

Iklan