Malaysia Salur Pakaian Musim Sejuk Kepada Pelarian Syria Di Lubnan

Diterbitkan: Sabtu, 13 Februari 2016 10:58 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia menyalurkan 1,000 bungkusan pakaian musim sejuk kepada pelarian wanita dan kanak-kanak Syria di perkampungan Shebaa, yang terletak hampir 150 kilometer dari Beirut, di kawasan pergunungan terpencil di tenggara Lubnan.

Wisma Putra dalam kenyataannya pada Sabtu berkata keseluruhan bungkusan itu bernilai AS$28,500 (RM125,682) dengan setiap satunya mengandungi baju tebal, seluar, skarf, jaket, stokin dan selimut.

"Oleh kerana Lubnan mengalami musim sejuk yang agak teruk, maka adalah penting bagi memastikan golongan pelarian yang paling terdedah iaitu kanak-kanak dan wanita diberi bantuan walaupun berada di kawasan terpencil dan berbahaya, agar ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesengsaraan mereka," kata Wisma Putra.

Berikutan kekurangan bekalan berhampiran kawasan itu, Kedutaan Besar Malaysia telah membeli barangan berkenaan di Bandar Tyre, barat daya Lubnan dan membawanya ke Shebaa di tenggara Lubnan yang sejauh 100 kilometer melalui jalan pergunungan.

Bantuan itu kemudian diedarkan Duta Besar Malaysia ke Lubnan Bala Chandran Tharman pada Khamis lepas.

Ketua Pusat Pembangunan Sosial Shebaa, Mohammad al-Saadi, berkata Malaysia merupakan negara pertama yang menyalurkan bantuan secara terus kepada pelarian di perkampungan itu.

Penyaluran bantuan itu juga merupakan satu daripada misi bantuan yang sedang diusahakan Kedutaan Besar Malaysia di Lubnan untuk pelarian Syria di persempadanan utara dan timur Lubnan dan Syria.

Bantuan itu merupakan inisiatif isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor selaku penaung Tabung Kesejahteraan Kanak-kanak Sedunia (GCWF) dan Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (BAKTI) Malaysia.

Kedua-dua badan kebajikan itu telah menyumbangkan AS$360,000 untuk diagihkan kepada pelarian Syria dengan sumbangan AS$300,000 daripada GCWF dan AS$60,000 oleh BAKTI Malaysia.

Jumlah itu adalah sebahagian daripada AS$600,000 (RM2.7 juta) yang disalurkan oleh GCWF dan BAKTI Malaysia kepada pelarian Syria di Jordan dan Lubnan.

"Kedutaan Besar Malaysia berharap bantuan kemanusiaan yang disalurkan sedikit sebanyak akan membantu mengurangkan kepahitan hidup pelarian Syria di Lubnan ketika musim sejuk sekarang," kata Wisma Putra.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan