Abdul Rahim Ketua Polis Perak Baharu

Diterbitkan: Jumaat, 12 Februari 2016 4:34 PM

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim (dua, kanan) menyaksikan penyerahan tongkat kuasa antara Datuk Osman Salleh (kiri) kepada Ketua Polis Perak yang baharu Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Kontinjen Perak (IPK), Jumaat.

(Ubah saiz teks)

IPOH: Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi dilantik sebagai Ketua Polis Perak yang baharu, berkuat kuasa Jumaat.

Abdul Rahim, 58, menggantikan Ketua Polis Perak sebelum ini, Datuk Osman Salleh yang bersara wajib hari ini.

Majlis serah terima tugas antara Abdul Rahim dan Osman disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, Jumaat.

Pada majlis itu juga, diadakan majlis serah terima tugas Pengerusi Persatuan Kebajikan Polis (Perkep) negeri, Datin Halijah Mohd Rashid kepada Datin Seri Ramlah Mahmod, dengan disaksikan Naib Pengerusi Perkep Malaysia, Datin Seri Shahriza Saad @ Mansor.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Abdul Rahim meminta semua warga polis Perak mendoakan kepimpinannya sentiasa terarah dan selari dengan saranan Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara.

"Saya mengharapkan sokongan berterusan dan 'Esprit De Corps' (semangat kerjasama berpasukan) daripada semua warga polis Perak. Saya akan melaksanakan tanggungjawab terbaik saya," katanya.

Abdul Rahim yang dilahirkan pada 1 Februari 1958 di Alor Setar, Kedah, mula menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 27 Februari 1983 sebagai Kadet Asisten Superintenden.

Sepanjang berkhidmat dalam PDRM, beliau pernah bertugas di beberapa daerah dan kontinjen polis, termasuk sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Ketua Polis Daerah Gurun, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan dan Ketua Polis Kelantan.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Abdul Rahim Hanafi , Perak , Osman Salleh , Perkep

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan