Debat Antara Asri, Zamihan Tak Perlu - Jamil Khir

Diterbitkan: Jumaat, 12 Februari 2016 7:23 PM

Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (kiri) dan Zamihan Mat Zin Al-Ghari.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, program perdebatan antara Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Zamihan Mat Zin Al-Ghari tidak perlu diadakan.

Sebaliknya, beliau meminta diskusi itu diadakan secara tertutup sekiranya wujud keperluan mendesak untuk berbuat demikian.

"Malah, diskusi itu perlu diadakan dengan harmoni, mengambil kira pandangan-panadangan ulama sunni yang muktabar (terhormat), elakkan tuduh-menuduh, mengekalkan semangat persaudaraan dalam Islam dan menyelesaikan pertikaian melalui kerangka ilmu menerusi diskusi tertutup itu sahaja," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Jamil berkata, Malaysia merupakan sebuah negara Islam yang bergerak seiring dengan pandangan ulama muktabar di seluruh dunia yang berpegang teguh kepada aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. 

Prinsip aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah menekankan nilai-nilai kesederhanaan (wasatiyyah) dan sentiasa berpandangan terbuka terhadap perkara-perkara furu'iyyah (perbezaan) di dalam Islam serta mengelakkan permusuhan dan persengketaan sesama Islam, katanya.

Media melaporkan perdebatan itu, yang bertajuk 'Ekstremisme Agama di Malaysia: Satu Diskusi', akan diadakan pada 9 malam, Rabu ini di Jabatan Perdana Menteri. - Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan