Tiada Unsur Sabotaj Cermin Kokpit Retak - MD Rayani Air

Diterbitkan: Rabu, 10 Februari 2016 11:30 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Tiada unsur sabotaj atau masalah teknikal yang menyebabkan keretakan cermin kokpit pesawat Rayani Air, sekali gus mengakibatkan dua penerbangan terpaksa dibatalkan pada Selasa, kata Pengarah Urusannya, Ravi Alagendrran.

Ravi yang mengesahkan perkara tersebut kepada mStar Online berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan siasatan  pasukan jurutera syarikat penerbangan itu.

"Kita sudah siasat, sudah periksa. Tiada unsur sabotaj atau masalah teknikal. Keretakan cermin itu perkara biasa kalau berlaku 'overheat'. Pasukan jurutera yang diiktiraf DCA (Jabatan Penerbangan Awam) telah selesaikan siasatan.

"Cermin kokpit yang retak telah diganti dengan yang baharu. Kita telah buat pemeriksaan keselamatan dalam menangani hal ini. Pesawat berkenaan sudah boleh beroperasi semula hari ini," katanya pada pagi Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai lebih 200 penumpang Rayani Air terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada Selasa selepas penerbangan mereka dibatalkan, berpunca daripada keretakan cermin kokpit pesawat.

Dilaporkan, dua penerbangan Rayani Air dari Langkawi ke Kuala Lumpur pada pukul 11.10 pagi dan 6.20 petang dibatalkan berikutan insiden itu.

Ravi berkata, pihaknya telah mendapatkan bantuan Malaysia Airlines Bhd (MAB) pada Selasa bagi menyewa pesawat syarikat penerbangan negara itu untuk membawa penumpang yang terkandas.

Cermin kanan di bahagian kokpit pesawat Rayani Air. Cermin kanan adalah yang baharu digantikan selepas dikesan mengalami keretakan pada Isnin malam.


"Lebih 50 penumpang dibawa guna pesawat MAB dari Kuala Lumpur pada pukul 9.30 malam tadi dan tiba di Langkawi pukul 10.30 malam.

"Kita kemudiannya kembali ke Kuala Lumpur bagi membawa lebih 150 penumpang dari Langkawi, yang terkandas akibat pembatalan penerbangan di sebelah pagi dan petang," katanya, sambil menambah sebahagian penumpang lagi yang terkandas mengambil keputusan untuk menaiki penerbangan pada Rabu di mana Rayani Air menyediakan kemudahan penginapan kepada mereka.

Selain itu kata Ravi, Rayani Air turut menggunakan satu lagi pesawat milik syarikat penerbangan itu bagi membawa penumpang dari Kota Baru ke Kuala Lumpur pada Selasa malam, yang turut terjejas akibat insiden tersebut.

Ditanya mengenai kelewatan Rayani Air menangani masalah penumpang terkandas, Ravi menjelaskan bahawa usaha itu mengambil masa kerana perlu mendapatkan kebenaran DCA dan kerjasama MAB selain insiden berlaku pada cuti umum sempena Tahun Baharu Cina.

"Perkara ini seperti menggunakan pesawat 'charter' perlu melalui banyak prosedur. Kita berusaha sedaya-upaya untuk menyelesaikan masalah ini terutama bagi memastikan penumpang dapat menaiki penerbangan dengan selamat," katanya.

Ravi menegaskan bahawa penerbangan Rayani Air kembali beroperasi seperti biasa pada Rabu.

"Penerbangan kembali pulih pada hari ini. Kita sudah tangani masalah yang berlaku semalam.

"Kita mohon maaf di atas apa yang berlaku. Kesulitan amat dikesali. Keselamatan penumpang adalah keutamaan Rayani Air," ujarnya.

Rayani Air merupakan syarikat penerbangan patuh syariah pertama Malaysia, memulakan penerbangan sulung dari Kuala Lumpur ke Langkawi pada 20 Disember tahun lalu.

Tags / Kata Kunci: Rayani Air , kokpit , MAB , Langkawi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan