MB Kedah Jumpa PM Hari Ini Bincang Senarai Exco

Diterbitkan: Rabu, 10 Februari 2016 10:30 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Spekulasi siapa yang bakal dilantik sebagai anggota exco kerajaan negeri Kedah bakal terjawab apabila Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Putrajaya pada Rabu.

Secara konvensyen, di Kedah pertukaran menteri besar turut melibatkan rombakan kepada jawatan-jawatan exco kerajaan negeri.

Ahmad Bashah telah dilantik sebagai menteri besar Kedah yang ke-12, pada Khamis 4 Februari mengantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang melepaskan jawatannya sehari sebelum itu ekoran kehilangan sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri apabila undian sulit di hadapan ahli-ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah telah diperolehi dari kesemua ahli dewan Barisan Nasional dan Pembangkang.

Ahmad Bashah yang ditemui di kediamannya di sini telah mengesahkan pertemuannya dengan Perdana Menteri.

Ditanya apakah rakyat Kedah bakal menyaksikan rombakan besar-besaran dalam barisan kabinet kerajaan negeri? Ahmad Bashah dengan wajah yang tersenyum berkata: "Segala-galanya bergantung kepada hasil perbincangan saya dengan perdana menteri nanti. Boleh jadi saya kekalkan barisan exco yang sedia ada dan ada kemungkinan juga satu dua muka baru akan muncul."

Perubahan adalah perkara biasa dalam politik kata Ahmad Bashah sambil menambah, tidak semestinya perubahan kepada jawatan menteri besar bermakna seluruh anggota exco lama akan digugurkan.

"Secara konvensyennya di Kedah, setiap kali adanya perubahan ke atas jawatan MB, Yang Dipertua Dewan akan menasihati agar anggota-anggota exco turut mengangkat sumpah taat setia.

"Jadi ini bermakna secara langsungnya mereka akan mengangkat sumpah sebagai barisan exco yang baru, " jelas Ahmad Bashah.

Menurut beliau, mesyuarat exco tidak akan diadakan sehingga barisan exco baru mengangkat sumpah. 

Sementara itu, mStar difahamkan, yang Ahmad Bashah dijadual bertemu dengan anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah pada Khamis untuk mempersembahkan senarai sembilan exco kerajaan negeri.

Beliau kemudian dijangka bertemu dengan Sultan Kedah.

Sementara itu, Exco Sains, Inovasi, Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Sumber Maklumat di bawah pentadbiran Mukhriz, Datuk Norsabrina Mohd Noor turut kelihatan berada di kediaman Ahmad Bashah pada malam Selasa.

Turut hadir ialah ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Merdeka, Ali Yahya. 

Norsabrina, 36, sebelum ini adalah penyokong kuat Mukhriz dan enggan menandatangani surat sokongan terhadap Ahmad Bashah.

Ali Yahya dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin adalah antara nama-nama yang disebut sebagai muka-muka baru yang bakal dilantik sebagai anggota exco.


 

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan