Malaysia Terus Waspada Virus Zika - Subramaniam

Diterbitkan: Ahad, 7 Februari 2016 8:14 PM

Gambar fail sampel darah untuk ujian virus Zika. Foto Reuters

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengunjung dari 24 negara yang dilanda virus Zika, terutamanya wanita hamil, diminta memaklumkan mengenai negara asal mereka secara sukarela kepada pegawai perubatan sejurus tiba di semua pintu masuk utama negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, pengunjung dari negara terbabit perlu secara sukarela berbuat demikian kerana saringan kesihatan yang dilakukan tidak mencukupi untuk mengesan virus Zika selain bagi mendapatkan nasihat atau pengawasan tertentu.

Beliau berkata kebiasaannya, jika seseorang mempunyai suhu badan melebihi 37 darjah Celcius, skala warna pada pengimbas suhu badan akan berubah dan memudahkan pegawai perubatan mengenal pasti sama ada mereka sihat atau tidak.

"Namun, bagi virus Zika, saringan suhu badan sahaja tidak mencukupi. Ini kerana 80 peratus daripada mereka yang mungkin ada virus itu dalam badan, suhu badan mereka tidak meningkat. Jadi, mereka boleh berlalu terus tanpa dikesan," katanya kepada pemberita selepas menutup majlis perhimpunan usahawan kecil wanita India Selangor di sini, Ahad.

Negara yang disahkan terlibat dengan virus itu ialah Barbados, Bolivia, Brazil, Colombia, Curacao, Republik Dominica, Ecuador, El Salvador, Guiana Perancis, Guadaloupe, Guatemala, Guyana, Haiti, Honduras, Martinique, Mexico, Nicaragua, Panama, Paraguay, Puerto Rico, Saint Martin, Surinam, Virgin Islands (Amerika Syarikat) dan Venezuela. 

Mengulas laporan sebuah institut kesihatan di Brazil yang mendakwa adanya kes jangkitan virus itu menerusi air liur dan air kencing, Dr Subramaniam berkata, perkara itu masih belum disahkan secara saintifik.

Beliau berkata berdasarkan maklumat yang disahkan ketika ini, virus itu berpunca daripada nyamuk.

"Mesej yang kita dapat sekarang lebih daripada nyamuk...jika manusia kepada manusia, kita memerlukan lebih banyak kes yang telah dikaji pihak saintis," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mengarahkan Kementerian Kesihatan supaya mengambil semua langkah pencegahan bagi melindungi rakyat daripada demam denggi dan virus Zika.

Beliau mahu semua pihak termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan rakyat keseluruhannya berganding bahu memerangi nyamuk Aedes, yang merupakan ejen penyebaran kedua-dua penyakit berkenaan. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Zika

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan