Kaki 'Tidur' Itu Abah Saya, Saya Bangga Dengan Beliau - Azira Hafiza

Diterbitkan: Khamis, 4 Februari 2016 5:57 PM

Ahmad Bashah Md Hanipah.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Azira Hafiza, anak perempuan kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah mempertahankan bapanya yang dicerca di laman media sosial sebagai 'kaki tidur'.

Netizen mencerca Ahmad Bashah selepas adegan beliau sedang tertidur dalam satu majlis rasmi kerajaan negeri dirakam kamera.

"Kaki “tidur”, yang dicerca, dikeji, dimaki tu adalah abah saya. Saya bangga dengan beliau," kata Azira Hafiza dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya pada Khamis.

Azira Hafiza turut mempertahankan bapanya yang dikritik kerana hanya memiliki kelayakan SRP dengan berkata beliau terpaksa melupakan pelajaran kerana perlu menjaga keluarganya.

"Ya. Abah sekolah tak tinggi. Tak ada Master, tak ada PHD, apatah lagi diploma, bukan kelulusan luar negara, apatah lagi ahli motivasi atau professional trainer.

"Sebab abah yang kena ambil alih tugas seorang ayah untuk keluarga dia. Jaga kakak, dan adik-beradik lain lepas ayah abah meninggal. Kerja jual telur ayam, jual durian, kelindan lori, you name it," katanya yang juga anak bongsu Ahmad Bashah.

Azira Hafiza berkata tiada siapa mengetahui atau melihat susah payah bapanya dan jentera Umno Kedah selepas tewas kepada pembangkang pada 2008.

Jelas anak bongsu itu, tiada siapa tahu bagaimana perasaan anak-anaknya yang jarang bertemu dengan bapa mereka beberapa hari menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Malah Azira Hafiza turut mempersoalkan penghinaan yang diberikan netizen terhadap bapanya yang dianggapnya keterlaluan kerana ramai tidak tahu mengenai pengorbanan bapanya.

Azira Hafiza berkata beliau memaafkan mereka yang menabur fitnah terhadap bapanya.

"InsyaAllah, saya wakil dari ahli keluarga meminta maaf dan memaafkan anda semua yang memaki, mencaci memfitnah sebab anda semua tak kenal abah. Takpa lah, abah dah takda mak ayah untuk dapat dakapan syahhhdu seorang ibu bapa pemberi semangat dan ditenangkan macam dia. Tapi abah ada kami.

"Saya juga doakan isteri,suami,anak, ahli keluarga keyboard warriors sihat hendaknya serta dirahmati Allah dunia akhirat, dapat belajar oversea dan tidak dipanah petir," katanya.

Ahmad Bashah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakar Bata mengangkat sumpah Menteri Besar Kedah ke-12 di hadapan pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah, 10 pagi Khamis.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah dilantik sebagai Menteri Besar Baharu selepas Datuk Seri Mukhriz Mahathir meletak jawatan pada Rabu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan