Johor Tumpu Pertumbuhan Ekonomi Lebih Radikal

Diterbitkan: Khamis, 4 Februari 2016 6:11 PM

Mohamed Khaled Nordin.

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Kerajaan negeri akan memberi tumpuan terhadap pelan pertumbuhan ekonomi yang lebih radikal berikutan keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan pada masa ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata langkah itu juga dilakukan kerana kerajaan negeri tidak mahu bergantung kepada cara, pemikiran dan budaya lama dalam membangunkan ekonomi, sebaliknya ingin meneroka bidang baharu dalam pelan pertumbuhan seperti industri kreatif dan ekonomi hijau, keusahawanan dan inovasi.

"Segala tumpuan terhadap bidang ini akan meletakkan Johor sebagai kuasa ekonomi serantau dan bukan sekadar sebahagian daripada ekonomi Malaysia.

"Ia juga akan memberikan kita inspirasi untuk mencuba konsep ekonomi alternatif, bersandarkan wakaf, hibah dan zakat yang membolehkan ekonomi digerakkan melalui muafakat masyarakat tanpa bergantung harap pada pemerintah.

"Pada masa yang sama, ia turut memastikan kelestarian dan kemampanan ekonomi, sekali gus berupaya menzahirkan matlamat akhir dasar ekonomi kita bagi mewujudkan ekonomi berkesejahteraan," kata Mohamed Khaled.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena Majlis Amanat Menteri Besar Johor 2016 kepada kira-kira 2,000 penjawat awam negeri di sini Khamis.

Sejak tiga tahun lepas, pencapaian ekonomi Johor berada pada tahap memberangsangkan berikutan kejayaan pelaksanaan dasar dan strategi pertumbuhan yang menyumbang kepada statusnya sebagai kuasa ekonomi paling dinamik selepas Kuala Lumpur.

Menurutnya sehingga tahun lepas, Johor mencatat pelaburan berjumlah RM30 bilion berbanding RM21.2 bilion pada 2014.

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri pula berkembang pada kadar 6.5 peratus, bernilai RM93.74 bilion, katanya.

Mohamed Khaled berkata kerajaan negeri telah mengambil inisiatif memperkenalkan gagasan Johor Berkemajuan sebagai instrumen mewujudkan keseimbangan dalam pembangunan Bangsa Johor yang insklusif pada masa depan.

Katanya gagasan itu diperkenalkan atas empat faktor termasuk membuktikan bahawa Johor bukan hanya mahu menjadi negeri maju malah mahu melihat rakyatnya progresif.

Beliau percaya masih terlalu banyak ruang dalam konteks kehidupan yang perlu diubah dan dimajukan dalam membangunkan sebuah bangsa seperti isu berkaitan perspektif moral atau akhlak, rasuah dan segala bentuk penyelewengan.

"Ia (gagasan) juga penting dan wajib kerana ia akan menentukan Johor terus maju berbanding negeri lain," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan