Keluarga Harap Siti Aishah Pulang Sambut Ramadan, Lebaran

Diterbitkan: Isnin, 1 Februari 2016 7:30 AM

Siti Aishah diharap pulang ke kampung halaman pada Ramadan ini.

(Ubah saiz teks)

JELEBU: Mangsa perhambaan kumpulan Maoist di London, Siti Aishah Abdul Wahab dirayu pulang ke tanah air sekurang-kurangnya untuk seketika bagi menemui keluarga.

"Kami harap dia dapat pulang sekejap untuk sama-sama menyambut Ramadan dan berhari raya di sini," kata Kamar Mahtum, 76, kakak kepada Siti Aishah, Ahad.

Kamar berkata ketika ini Aishah, 72, menetap di London dan banyak membuat kerja amal. 

"Kami sekeluarga kerap menghubungi Aishah bertanyakan khabar. Dia gembira di sana dan kami tidak akan paksa dia pulang. 

"Tetapi cuma berharap dia pulang sekejap untuk sambut Ramadan dan Hari Raya," kata Kamar. 

Beliau merancang ke London bagi memujuk adiknya itu.

Kamar diminta mengulas mengenai hukuman penjara yang dijatuhkan mahkamah Southwark Crown terhadap Ketua Kumpulan Maoist Aravindan Balakrishnan, 75, semalam kerana didapati bersalah terhadap tuduhan serangan seks dan mendera pengikut wanitanya. 

Aishah adalah seorang daripada pengikut kumpulan itu.

Pada 2013 negara dikejutkan dengan berita mengenai sebuah keluarga dari Jelebu, Negeri Sembilan yang mengesahkan seorang anggota keluarga wanitanya menjadi hamba selama 30 tahun dalam kumpulan Maoist di London itu. 

Siti Aishah dilaporkan hilang sejak 1968. 

Beliau adalah antara tiga wanita yang diselamatkan polis London pada November 2013. 

Siti Aishah datang ke Britain pada 1968 untuk meneruskan pengajiannya sebelum dikatakan terbabit dengan aktiviti kumpulan pelampau berfahaman komunis.-- Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan