Mukhriz Gesa 14 Ketua Bahagian Mohon Maaf Kepada Sultan

Diterbitkan: Ahad, 31 Januari 2016 6:00 PM

Mukhriz Mahathir (depan, kanan) pada Majlis Istiadat Pengurniaan Bintang dan Pingat-pingat Kebesaran Sempena Ulangtahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-88 di Istana Anak Bukit pada Khamis lalu.

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjelaskan tindakan beberapa pemimpin Umno negeri yang mendesaknya supaya  berundur dianggap tidak bertanggungjawab ketika rakyat Kedah sedang bergembira meraikan ulang tahun keputeraan Sultan Kedah yang ke-88.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, Mukhriz berkata perbuatan kumpulan itu telah mencemar pelbagai acara sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Kedah.

“Di saat rakyat Kedah sedang bergembira meraikan ulang tahun keputeraan Sultan Kedah yang ke-88, sekumpulan pemimpin Umno negeri ini telah bertindak mendesak saya berundur dari jawatan menteri besar.

“Tindakan 12 ketua bahagian dan dua timbalan ketua bahagian mengheret sama ketua-ketua sayap dan pemimpin muda dalam Umno mengadakan sidang media di Alor Setar pada 20 Januari lalu adalah tidak bertanggungjawab.

"Malah, sebahagian daripada mereka yang hadir pada sidang akhbar itu memberitahu saya bahawa mereka tidak dimaklumkan mengenai tujuan dan butiran kenyataan yang dibuat," jelasnya.

Mukhriz berkata, turut mendukacitakan, enam daripada sembilan exco tidak menghadiri Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kedah pada 27 Januari lalu.

“Ini jelas sekali menyalahi peraturan pelantikan mereka sebagai penjawat awam dan ingkar dengan sumpah jawatan yang diangkat di hadapan Raja Pemerintah, seperti yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah.

“Sebagai exco, keengganan menghadiri Mesyuarat Exco menjejaskan proses pentadbiran dan perancangan yang telah diatur kerajaan negeri dalam melaksanakan program dan aktiviti pembangunan untuk rakyat,” katanya.

Tambah Mukhriz,  Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah juga memaklumkan turut murka dengan keingkaran Exco berkenaan.

"Sebagai pengerusi Umno Kedah dan Menteri Besar, saya telah dimaklumkan bahawa Sultan dan Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah tersinggung dengan tindakan kumpulan itu," jelas Mukhriz.

Mukhriz berkata sebagai pengerusi Umno negeri itu, beliau telah memohon ampun kepada Sultan Kedah dan Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

Beliau menggesa 14 ketua Umno bahagian, yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam sidang akhbar tersebut dan enam anggota Exco, yang tidak hadir semasa mesyuarat mingguan segera memohon maaf kepada Sultan Kedah dan Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

“Sehingga kemelut ini selesai setiap ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan seperti termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah,” katanya.

Pada 20 Januari lalu, Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sepakat mengumumkan pendirian hilang kepercayaan terhadap Mukhriz dalam satu sidang media selepas perjumpaan tertutup yang turut dihadiri 14 ketua bahagian.

Tags / Kata Kunci: Mukhriz Mahathir , Mohon Maaf , Sultan

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan