Kaum Melayu Perlu Ubah Pemikiran Bergantung Pada Kerajaan - Rafidah Aziz

Diterbitkan: Sabtu, 30 Januari 2016 9:23 PM

Rafidah (kanan) melancarkan Buku 'Merdeka Minda Melayu' edisi Bahasa Malaysia dan 'Liberating The Malay Mind' bagi edisi Bahasa Inggeris di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15 Sabtu. Turut hadir Dr M Bakri (kiri). Foto Bernama

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Kaum Melayu, khususnya golongan muda perlu mengubah pemikiran yang terlalu bergantung kepada keistimewaan diberi kerajaan.

Mereka sebaliknya hendaklah mempercayai kebolehan diri supaya mampu menjadi pesaing hebat dengan golongan lain, demikian tegas bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz.

Beliau berkata, kebergantungan dengan keistimewaan ini dilihat menggugat kemampuan kaum Melayu bersaing di arus globalisasi yang semakin mencabar. 

Katanya, keadaan kehidupan kaum Melayu pada masa ini juga sudah berubah berbanding zaman dahulu di atas usaha kerajaan meningkatkan keupayaan mereka dalam ekonomi negara, termasuk mengimbangi kedudukan sosial kaum itu dengan kaum-kaum lain. 

"Bagaimanapun, corak pemikiran kaum Melayu saja yang masih bergantung kepada 'tongkat' (keistimewaan) yang disediakan, malah sekarang ini ia dilihat sebagai 'excess baggage' - sesuatu yang kita bawa dari dahulu hingga sekarang. 

"Masih ada lagi yang nak juga 'tongkat' itu walaupun (keadaan) dah elok...kita dah elok, nak minta lagi," katanya. 

Rafidah berucap melancarkan buku edisi kedua 'Liberating The Malay Minds' (Membebaskan Minda Melayu) oleh Dr Mohammad Bakri Musa, pakar bedah di Amerika Syarikat di sini, Sabtu.

Rafidah berkata, kaum Melayu sepatutnya bersedia untuk berubah demi kemajuan bangsa daripada bergantung kepada pihak lain. 

Beliau berkata semua pihak, terutama ibu bapa perlu memastikan generasi muda diasuh supaya mampu berdikari untuk mencapai kejayaan. 

"Asuhan bermula dari rumah hingga masuk ke dalam masyarakat dan ia amat penting kerana perkara inilah yang menentukan nilai dan persepsi seseorang individu itu," katanya. 

Beliau berkata, "Penerapan 'collective nurturing' terhadap corak pemikiran itu sangat penting supaya minda kita dapat 'recalibrate' demi kemajuan negara." 

Sementara itu, Dr Mohammad Bakri, 72, berkata corak pemikiran kaum Melayu kebanyakannya dilihat masih dibelenggu dengan acuan terdahulu walaupun ada di antara mereka kini lebih terbuka dengan perubahan semasa.  

Orang Melayu sepatutnya mengambil peluang untuk memerdekakan minda... memandangkan fitrah manusia mahu 'membebaskan diri' daripada terus terkurung di takuk lama, katanya. 

Dr Mohammad Bakri berkata, kaum Melayu boleh dikategorikan kepada dua kumpulan iaitu golongan berfikiran luas, hasil daripada pembacaan serta keterbukaan terhadap perubahan dunia, dan satu lagi golongan yang masih 'terkurung' minda mereka. 

Bagaimanapun anjakan paradigme harus dipantau dan dikawal bagi memastikan tiada impak negatif terhadap evolusi tersebut supaya kaum Melayu sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang pendekatan dalam membentuk sebuah bangsa yang maju, katanya. 

"Apa yang kita mahukan adalah perubahan (minda) yang dikawal. Maksudnya, apabila tempurung yang terlangkup diterbalikkan, orang kita bersedia untuk menerima evolusi. 

"Kawalan ini penting kerana kita tidak mahu pula nanti apabila datangnya perubahan, masyarakat terkejut dan sukar terima menyebabkan mereka kembali berkurung di bawah tempurung yang lain pula," katanya. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Rafidah Aziz

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan