Jabatan Peguam Negara Akan Bantu Switzerland Dalam Siasatan 1MDB

Diterbitkan: Sabtu, 30 Januari 2016 4:49 PM

Mohamed Apandi Ali.

(Ubah saiz teks)

DIKEMASKINI

KUALA LUMPUR: Peguam Negara (AG), Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, pihak berkuasa Malaysia termasuk Jabatan Peguam Negara (AGC) komited bekerjasama dengan semua entiti penguatkuasaan undang-undang luar negara berkaitan, menerusi konvensyen dan perjanjian antarabangsa yang sah.

Pada masa sama, beliau berkata 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sejak awal lagi, turut memberi kerjasama setiap kali siasatan dijalankan.

"Saya mengambil maklum kenyataan Pejabat Peguam Negara Switzerland, dan kenyataan seterusnya yang dikaitkan dengan Peguam Negara Switzerland oleh sebuah akhbar Amerika, berhubung siasatan dibuat terhadap dua bekas pegawai 1MDB.

"Pihak berkuasa Malaysia dan saya sendiri berusaha keras mengumpul segala fakta berkaitan 1MDB yang membawa kepada pelbagai dakwaan terhadap syarikat itu baru-baru ini. Sebab itu beberapa siasatan sedang dijalankan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Audit Negara," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohamed Apandi berkata, berikutan kenyataan Pejabat AG Switzerland baru-baru ini, pejabatnya akan mengambil segala langkah perlu untuk membuat susulan dan bekerjasama dengan rakan sejawatannya di negara berkenaan.

"Pejabat saya berharap akan menerima hasil siasatan dan bahan daripada mereka menerusi saluran biasa.

"Semua bahan ini akan diteliti, seiring maklumat diperoleh pihak berkuasa lain yang berkaitan dan siasatan kami sendiri, sebelum menentukan tindakan selanjutnya," kata beliau.

Beliau berkata, bercanggah dengan laporan media baru-baru ini, siasatan mengenai derma kepada Perdana Menteri adalah berbeza sepenuhnya daripada siasatan yang dibuat terhadap 1MDB. 

"Jabatan Peguam Negara mengkaji secara menyeluruh laporan yang disediakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dan seperti diumumkan, tiada bukti salah laku ditemui, dan oleh itu mengarahkan kes itu ditutup," katanya.

Mohamed Apandi berkata, sebarang cubaan oleh organisasi media untuk mengaitkan kedua-dua siasatan itu adalah perbuatan tidak bertanggungjawab dan bersifat prejudis.

Sementara itu, 1MDB dalam kenyataan pada Sabtu, berkata syarikat itu tidak dihubungi oleh mana-mana pihak berkuasa undang-undang dari luar negara mengenai sebarang perkara yang mempunyai kaitan dengannya.

"1MDB sentiasa komited bekerjasama penuh dengan mana-mana pihak berkuasa sah dan siasatan, tertakluk kepada nasihat daripada pihak berkuasa tempatan yang sah serta sejajar dengan protokol antarabangsa yang mengawal selia perkara seumpama itu," katanya. - Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan