Projek Naik Taraf Pasar Chowrasta Siap Oktober Ini

Diterbitkan: Jumaat, 29 Januari 2016 1:44 PM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Projek menaik taraf dan pengubahsuaian Pasar Chowrasta di Jalan Penang, di sini dijangka siap sepenuhnya Oktober ini selepas lewat hampir empat bulan dari tarikh dijadual dibuka kepada orang ramai.

Pengerusi Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow berkata berikutan kelewatan projek itu, kerajaan negeri terpaksa menanggung pertambahan perbelanjaan sebanyak RM1.67 juta daripada jumlah keseluruhan projek iaitu RM12.19 juta.

"Disebabkan lewat, jumlah keseluruhan projek menaik taraf dan pengubahsuaian projek ini menjadi RM13.86 juta.

"Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan menuntut pertambahan perbelanjaan daripada kontraktor terlibat kerana mereka gagal menyiapkan projek mengikut tarikh ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas melawat pasar itu, Jumaat.

Projek menaik taraf dan pengubahsuaian Pasar Chowrasta, yang terletak dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO, dirancang sejak 2005 dan dilaksanakan pada 1 April 2013.

Projek secara tender terbuka itu sepatutnya mengambil masa 24 bulan dan perlu disiapkan pada 31 Mac tahun lepas serta dibuka semula kepada orang ramai pada Ogos 2015.

Chow berkata MBPP membuat keputusan menamatkan perkhidmatan kontraktor berkenaan pada 25 Nov lepas dan lanjutan dari penamatan itu pihaknya melantik kontraktor baharu iaitu petender kedua terendah berdasarkan tender lepas bagi menyiapkan baki kerja projek itu.

Sementara itu, Ketua Menteri Lim Guan Eng yang turut hadir dalam lawatan itu menggesa perunding arkitek memainkan peranan memantau kemajuan setiap kontraktor yang dipilih bagi mengelakkan masalah kelewatan projek berlaku.

"Mulai sekarang, arkitek tidak hanya mendapatkan bayaran sahaja dan kemudian lepas tangan. Kami mahu arkitek sentiasa memantau dan memberi arahan kepada kontraktor dan jika gagal menyiapkan projek, kontraktor itu perlu ditamatkan.

"Kami kecewa dengan prestasi kontraktor walaupun dipilih melalui tender terbuka namun gagal melaksanakan projek sebaiknya. Kami akan memaklumkan kepada kerajaan bahawa harga bukanlah segalanya namun penyampaian perkhidmatan adalah penting," katanya.

Bangunan asal Pasar Chowrasta setinggi satu tingkat dibina Pesuruhjaya Perbandaran George Town pada 1890, sebelum dibina semula Dewan Bandaraya George Town dengan menaik taraf kepada tiga tingkat pada 1961.

Pembangunan semula oleh MBPP adalah yang pertama dilakukan sejak 1961 bertujuan menyusun semula peniaga jalanan tidak berlesen, meningkatkan tahap kebersihan, sistem pengudaraan dan pencahayaan lebih baik, membaik pulih kerosakan dan mengatasi masalah kekurangan tempat meletak kenderaan.

Tags / Kata Kunci: pasar Chowrasta , Chow Kon Yeow , MBPP

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan