SPR Kurangkan Bajet PRN Sarawak

Diterbitkan: Khamis, 28 Januari 2016 12:30 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengurangkan bajet untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Pengerusinya yang baharu dilantik Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata ia dilakukan sejajar dengan pengubahsuaian Bajet 2016 yang diumumkan kerajaan.

"Bajet untuk PRU DUN Sarawak ke-11 juga turut terlibat dan berkemungkinan akan dikurangkan.

"Banyak yang perlu kita buat rundingan semula kerana ia melibatkan bajet yang besar," katanya pada sidang media di Menara SPR di sini, Khamis.

Sidang media ini adalah yang pertama diadakan selepas Hashim dilantik sebagai pengerusi SPR menggantikan Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff yang tamat perkhidmatan.

Mengulas lanjut Hashim berkata Kementerian Kewangan dan Perbendaharaan telah meminta SPR mengemukakan angka yang boleh 'menjimatkan kerajaan' dalam menjalankan PRN Sarawak.

Namun katanya, pengurangan yang terlalu ketara dibimbangi akan menjejaskan kualiti pilihan raya terutama dari segi keselamatan.

"Kita masih tidak ada angka tepat mengenai pengurangan itu tapi kita harap dapat kurangkan sebanyak 10 hingga 15 peratus.

"Kalau kita turunkan banyak sangat pun tak boleh juga sebab kita bimbang kualiti pengurusan akan menurun terutama perkara-perkara yang berbahaya...misalnya kita banyak guna helikopter kalau banyak sangat pengurangan mungkin kita tak dapat beri khidmat terbaik sebab pembekal sekadar beri apa yang ada," katanya.

Sebelum ini, SPR telah menganggarkan perbelanjaan sebanyak RM181 juta.

Katanya dalam usaha mengurangkan bajet beliau juga berharap agar pembekal dapat memberi pertimbangan dan hanya memikirkan keuntungan.

"Memang syarikat nak untung tapi mereka perlu fikirkan margin juga. Jangan ambil terlampau tinggi.

"Bagi pihak SPR ia tak melemahkan kita. Kita tetap akan pastikan pelaksanaan proses pilihan rata berjalan sebaik mungkin," katanya.

Mengenai persempadan semula di Sarawak beliau berkata seramai 159,871 pengundi telah terlibat dan mereka boleh membuat semakan awal mulai hari ini.

Katanya persempadan semula ini melibatkan pertambahan kerusi dari 71 kerusi ke 82 kerusi.

"Pada peringkat awal ini status pengundi hanya akan paparkan maklumat diri pengundi, DUN dan Parlimen sahaja.

"Semakan status lengkap melibatkan daerah mengundi dan lokaliti, pengundinakan dimaklumkan nanti," katanya.

Tags / Kata Kunci: SPR , Sarawak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan