MB: PM Menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah Pagi Jumaat

Diterbitkan: Khamis, 28 Januari 2016 10:34 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Istana Negara di ibu negara, pagi Jumaat.

Kunjungan terhadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah adalah untuk mempersembahkan senarai calon Menteri Besar Kedah yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Adalah difahamkan, kesemua tiga anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah telah berada di ibu negara untuk bertemu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, yang juga Sultan Kedah.

Tiga anggota jemaah berkenaan ialah Pengerusinya, Tunku Temenggong, Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Laksamana, Datuk Seri Diraja Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Puteri Sulung Sultan Kedah, Tengku Panglima Besar, Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz .

Sumber berkata, persetujuan Jemaah Pemangku Sultan Kedah menerima menghadap Perdana Menteri bermakna usaha untuk menggantikan Mukhriz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Hitam itu akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat.

"Pertemuan dengan Jemaah Pemangku Sultan Kedah perlu untuk mendapat perkenan bagi melantik Menteri Besar yang baharu," kata sumber berkenaan kepada mStar Online.

Sumber itu turut memaklumkan, Perdana Menteri telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Menteri Besar Kedah yang baharu ketika menghadap baginda di Istana Negara pada Rabu.

Minggu lalu, Mukhriz menerima tekanan daripada Adun dan Ahli Parlimen Umno Kedah, serta pemimpin kanan Umno negeri yang diketuai Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.

Mereka secara terbuka menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Umno negeri.

Setakat ini, 19 daripada 21 Adun telah menandatangani akuan berkanun bagi menyokong usaha menyingkir anak Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

Kata sumber itu lagi, Ahmad Bashah yang juga Senator dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan adalah calon bagi menduduki kerusi Menteri Besar Kedah.

Selain Ahmad Bashah, seorang lagi pemimpin Umno yang disebut-sebut untuk mengisi jawatan itu ialah Exco Negeri yang juga Adun Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Rahman Ku Ismail, 63. 

Ku Rahman berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Sains dari Universiti Loughborough, United Kingdom.

Menurut sumber itu, jika anggota jemaah bersetuju dengan calon yang dikemukakan, difahamkan majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar yang baharu akan berlangsung di Istana Anak Bukit, Kedah pada Isnin.







iklan

Kolumnis

iklan

Iklan