KTMB Lancar Perkhidmatan Kargo Terpanjang Di Asia Tenggara - Berita Semasa | mStar

KTMB Lancar Perkhidmatan Kargo Terpanjang Di Asia Tenggara

Diterbitkan: Khamis, 28 Januari 2016 12:04 AM

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mencipta rekod baru dalam 'Malaysia Book Of Records (MBOR)' dengan tren membawa 120 wagon bermuatan 2,400 tan kargo sepanjang 1.9km yang dilepaskan oleh Presiden KTMB, Datuk Sarbini Tijan di stesyen Pelabuhan Klang, Rabu malam. 'The Longest Cargo Train Using Single Locomotive’ ini berlepas dari stesyen Pelabuhan Klang dan tiba di stesyen Padang Besar, Perlis, Khamis untuk dicatat ke dalam MBOR.

(Ubah saiz teks)

PELABUHAN KLANG: Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad hari ini melancarkan perkhidmatan kargonya terpanjang di Asia Tenggara dan  bakal diiktiraf Malaysia Book Of Records (MBOR).

Presiden KTMB Datuk Sarbini Tijan berkata kereta api kargo itu berkeupayaan membawa 120 wagon dengan muatan seberat 2,400 tan.

"Ini merupakan rekod baharu KTM apabila larian tren kargo ini mampu membawa 120 wagon sekali gus memecah rekod pada tahun 2010 dengan larian tren yang hanya membawa 50 wagon sahaja.

"Larian kereta api itu menggunakan lokomotif kelas 26 yang juga dikenali sebagai 'Blue Tiger' dan kemampuan lokomotif itu menarik 120 wagon telah terbukti menerusi ujian simulasi yang dilaksanakan sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perlepasan kereta api kargo itu, Rabu.

Turut hadir, Pengurus Besar Perkhidmatan Kargo KTMB Zain Mat Taha. 

Mengulas lanjut, Sarbini berkata pelancaran kereta api itu menunjukkan KTMB bersedia untuk memberi perkhidmatan yang cekap, cepat dan selamat dalam perkhidmatan kargonya.

"Selain itu, bermula tahun ini juga kami mengubah dasar pergerakan kereta api daripada pengangkutan penumpang kepada pengangkutan barang," katanya.

Keretapi kargo itu berlepas dari stesen KTM Pelabuhan Klang di sini dan dijangka tiba Padang Besar, Perlis kira-kira 1 tengah hari, esok. 

KTMB akan menerima sijil pengiktirafan daripada MBOR dalam satu majlis yang diadakan di stesen berkenaan (Padang Besar).-- Bernama


Tags / Kata Kunci: KTMB , MBOR , Asia Tenggara , Sarbini Tijan
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan