"Saya Dah Jangka" - Tun M

Diterbitkan: Rabu, 27 Januari 2016 4:24 PM

Tun Dr Mahathir Mohamad

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau sentiasa menjangkakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersih daripada sebarang kesalahan jenayah.

Tetapi keputusan oleh Peguam Negara itu yang membebaskan Najib berhubung SRC International dan derma RM2.6 bilion menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.

Bekas Perdana Menteri berkata ia sudah menjadi sesuatu yang tidak adil apabila Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali bertindak sebagai hakim dan pendakwa raya dalam kes ini.

"Di Malaysia, Peguam Negara memutuskan jika sesuatu undang-undang itu telah dilanggar atau tidak. Keputusan itu sebenarnya adalah suatu penghakiman. Peguam Negara adalah hakim dan pendakwa. Ini dengan sendirinya adalah satu ketidakadilan," katanya di blognya chedet.cc , Rabu.

Dr Mahathir kemudian meneliti kenyataan Peguam Negara, yang pada Selasa mengumumkan bahawa sumbangan itu, yang sebenarnya berjumlah RM2.08 bilion merupakan sumbangan peribadi daripada kerabat diraja Arab Saudi dan diberikan tanpa apa-apa balasan.

Mengenai dua kertas siasatan berhubung SRC International, Apandi berkata tidak ada bukti untuk membuktikan bahawa Najib mempunyai sebarang pengetahuan atau pun telah memberikan kelulusan untuk pemindahan wang dari akaun SRC International ke dalam akaun peribadinya.

Tetapi, Dr Mahathir berkata mempunyai sejumlah besar wang dalam akaun peribadi Najib sudah menjadi kesalahan, walaupun ia mungkin tidak menjadi satu jenayah.


"Nampaknya ada surat dari Saudi menyatakan bahawa sejumlah wang sebanyak AS$681juta atau RM2.08 bilion adalah sumbangan untuk PM bagi memerangi pengganas Islam.

"Siapakah orang Arab ini, bagaimana beliau mempunyai jumlah wang yang besar wang untuk diberikan, apa perniagaannya, apa banknya, bagaimana wang dipindahkan, apakah dokumen membuktikan semua ini.

"Hanya surat dari seseorang yang telah mati atau beberapa 'non-entity' sahaja cukup untuk Peguam Negara," katanya.

Dr Mahathir berkata perlu juga pendedahan bagaimana baki sejumlah AS$620 juta atau RM2.03 bilion telah dikembalikan ke Arab Saudi.

Bagaimanapun, beliau berkata, ini tidak sama dengan maklumat sebelumnya yang menyatakan bakinya telah dibekukan oleh Singapura.

"Bolehkah Singapura menjelaskan tentangnya dan penghantaran kembali ke Arab Saudi? Atau adakah Singapura juga percaya dengan cerita hadiah percuma, surat itu dan kemasukan Saudi.

"Singapura adalah pusat kewangan. Bolehkah ia begitu mudah tertipu?," tanya beliau.

Tindakan Apandi selepas itu yang mengarahkan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menutup kes itu dan menghentikan siasatan juga menjadi persoalan.

"Saya fikir SPRM adalah sebuah badan bebas. Kini ia seolah-olah berada di bawah Peguam Negara dan ia mengambil arahan daripadanya.

"Tidak hairanlah Malaysia termasuk di kalangan sepuluh negara yang paling korup di dunia," katanya.

Beliau menambah beliau 'betul' apabila meramalkan bahawa laporan SPRM dan Bank Negara akan ditolak oleh Peguam Negara berhubung dengan kes.

"Ramai rakyat perlu tahu isi kandungan kedua-dua laporan. Tetapi mereka semua telah melihat apa yang mungkin akan berlaku apabila seseorang menyerahkan sesuatu laporan kepada pihak polis. Dan mereka takut.

"Saya pun takut juga. Di Malaysia hari ini, undang-undang dan peraturan tidak lagi melindungi rakyat," katanya, merujuk kepada Akta Rahsia Rasmi sebagai contoh terbaik.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan