Beberapa Kawasan Di KL, Hulu Langat Alami Ganguan Air Pada Khamis - Berita Semasa | mStar

Beberapa Kawasan Di KL, Hulu Langat Alami Ganguan Air Pada Khamis

Diterbitkan: Rabu, 27 Januari 2016 11:11 PM

catuan
(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sebanyak 88 kawasan di ibu kota dan 163 kawasan di Hulu Langat dijangka mengalami tekanan air rendah dan gangguan bekalan air bermula 9 pagi Khamis hingga 2 pagi Jumaat ini.

Menurut Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dalam kenyataan di sini, ini berikutan usaha menambah baik kecekapan sistem rawatan air dan kerja pembaikan paip bocor di dalam Loji Rawatan Air Sungai Langat.

"Semasa kerja pembaikan paip bocor dijalankan, loji rawatan air ini akan terus beroperasi namun bekalan air akan mengalami penurunan sebanyak 60 peratus.

"Pengguna di kawasan yang terjejas dinasihati menyimpan bekalan air secukupnya bagi kegunaan sepanjang tempoh itu," kata kenyataan itu pada Rabu.

Antara kawasan yang terlibat di ibu negara ialah di Taman Cheras Utama, Taman Pandan Perdana, Taman Saga, Taman Pandan Indah, Taman Maluri, Taman Koperasi Polis, Kampung Pandan Dalam, Kem PGA, Bandar Tun Razak, Taman Billion dan Alam Damai.

Kawasan Hulu Langat pula ialah di Bandar Mahkota Cheras; Taman Sekamat; Kompleks Mahkamah Kajang; Taman Jelok Impian, Kampung Baru Sungai Chua; Taman Koperasi Ceupacs; Prima Saujana; Sungai Ramal Dalam; Taman Pelangi Semenyih; Kajang Sentral; Taman Balakong Jaya; Bandar Tasik Kesuma dan Taman Semenyih.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai kawasan yang terlibat melalui aplikasi telefon pintar mySYABAS dan laman sesawang www.syabas.com.my.

Tags / Kata Kunci: Syabas , Ganguan Bekalan Air
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan