Krisis Kedah: Mukhriz Tak Patah Semangat

Diterbitkan: Selasa, 26 Januari 2016 6:21 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Angin perubahan kepimpinan di Kedah yang semakin kencang tidak mematahkan semangat Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk terus berusaha memperkukuhkan mandat dan sokongan rakyat supaya dapat meneruskan khidmatnya selaku Menteri Besar.

Terbaharu, berdasarkan posting di laman Instagram Mukhriz @mukhrizofficial yang dimuatnaik kira-kira pukul 3 petang Selasa, orang ramai dijemput untuk menghadiri majlis bacaan Yasin dan solat hajat yang akan diadakan pada malam ini.

"Dipersilakan hadir", demikian kapyen yang ditulis Mukhriz pada gambar yang menunjukkan beliau sedang menadah tangan berdoa.

Majlis yang dinamakan 'Selamatkan Kedah!' itu akan diadakan di kawasan Dewan Undangan Negeri yang diwakili Mukhriz iaitu di Masjid Kampung Sanglang, Ayer Hitam.

Sementara itu menurut Setiausaha Akhbar kepada menteri besar, Mohd Fisol Jaafar, Mukhriz akan menjalankan tugasnya seperti biasa mengikut jadual yang telah disusun lebih awal.

"Mesyuarat Exco yang dijadualkan esok akan berlangsung seperti biasa dan akan dipengerusikan Mukhriz. Tiada apa-apa perubahan," katanya kepada mStar Online, petang Selasa.

Paparan skrin posting di Instagram milik Mukhriz. 
Bagaimanapun, realitinya berdasarkan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Langkawi hujung minggu lalu, besar kemungkinan usaha untuk menyingkirkan Mukhriz bakal menjadi kenyataan.

Setakat ini, 19 daripada 21 wakil rakyat negeri berkenaan sudah menandatangani akuan berkanun bagi menyokong perubahan kepimpinan negeri berkenaan.

Kini hanya memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Kedah dan juga Jemaah Pemangku Sultan Kedah untuk tujuan pelantikan Menteri Besar baharu.

Nama yang disebut-sebut bakal menggantikan Mukhriz pula adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakar Bata, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang juga Senator dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Bagaimanapun menurut sumber bahagian adat istiadat dan protokol Kedah, hingga kini tiada sebarang persediaan dibuat untuk upacara angkat sumpah menteri besar yang baharu.

Sementara itu sebuah portal berita melaporkan bahawa prosedur pelantikan menteri besar baharu dikatakan giat disusun oleh mereka yang terlibat.

“Mungkin esok atau lusa majlis angkat sumpah jawatan tersebut akan diadakan. Semua kakitangan yang terlibat dengan majlis tersebut juga diarahkan untuk bersiap-sedia.

“Kami hanya menunggu arahan selanjutnya daripada pihak atasan mengenai majlis tersebut. Setakat ini juga hampir 90 peratus Ahmad Bashah adalah calon Menteri Besar baharu,” kata satu sumber seperti yang dilaporkan portal berkenaan.

Tags / Kata Kunci: Mukhriz Mahathir , Umno

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan