Surat BNM Tak Gambarkan Keadaan Sebenar Tabung Haji - Asyraf

Diterbitkan: Selasa, 26 Januari 2016 3:19 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Surat Bank Negara Malaysia (BNM) kepada Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) memberi amaran berhubung rizab mencecah angka negatif itu tidak menggambarkan keadaan sebenar status kewangan institusi itu, kata Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, isi kandungan surat berkenaan yang terbocor itu telah disalah ertikan.

"Nasihat saya kepada pakar kewangan segera di Facebook dan media sosial lain supaya mereka mengambil kira beberapa garis panduan sebelum membuat kenyataan yang boleh memburukkan pihak tertentu," katanya menerusi laman Facebooknya pada Selasa.

Garis panduan itu, kata Asyraf termasuk definisi rizab dan bagaimana ia berfungsi berbeza mengikut situasi kewangan.

Katanya, modul niaga Tabung Haji adalah berbeza daripada institusi kewangan lain kerana ia memperoleh pendapatan menerusi pelbagai pelaburan.

"Mereka juga perlu faham bahawa struktur penyata imbangan Tabung Haji juga berbeza," katanya sambil menambah pihaknya tidak diletakkan di bawah pemantauan bank pusat.

"Bagaimanapun, Bank Negara bimbang jika Tabung Haji tidak memperoleh keuntungan. Tetapi apakah benar Tabung Haji mengalami kerugian?," kata Asyraf.

Beliau berkata, ini adalah antara sebab isu berkenaan perlu dilihat dengan lebih terbuka daripada segi penyata imbangan, untung, rugi dan bukan hanya berasaskan tanggungan dan rizab sahaja.

"Orang ramai perlu faham bagaimana Standard Laporan Kewangan Antarabangsa, terutama penilaian rizab, aset dan aspek tanggungan," katanya.

Pada Selasa, sebuah portal berita melaporkan bahawa paras rizab Tabung Haji mencecah negatif dan tidak dapat membayar 8.8 juta pencarum sebarang dividen tahun ini jika tidak mengambil tindakan menyelesaikan masalah tersebut.

Dakwaan itu dikatakan dibuat berdasarkan surat bertarikh 23 Disember yang dihantar oleh Zeti kepada Azeez.

Zeti turut dilaporkan menghantar surat secara berasingan kepada Jamil Khir pada hari yang sama dengan memberi amaran keadaan kewangan Tabung Haji boleh memberi kesan kepada kerajaan.

Terdahulu, Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mengambil pendirian untuk 'mengunci mulut' berhubung isu itu.

Azeez ketika dihubungi The Star berkata, beliau perlu membuat semakan di pejabat terlebih dahulu mengenai kebenaran surat itu.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan