SPRM Serah Semula Kertas Siasatan SRC, Wang Derma RM2.6 Bilion Kepada AGC - Berita Semasa | mStar

SPRM Serah Semula Kertas Siasatan SRC, Wang Derma RM2.6 Bilion Kepada AGC

Diterbitkan: Isnin, 25 Januari 2016 10:26 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerahkan semula kertas siasatan SRC International Sdn Bhd dan wang derma RM2.6 bilion kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Pengarah Operasi Khas SPRM, Bahri Mohd Zin berkata kertas siasatan diserahkan pada minggu lalu berserta semua penjelasan yang dikehendaki AGC.

Katanya tidak ada permintaan daripada AGC terhadap mana-mana pegawai untuk datang berbincang mengenai kes ini atau penjelasan tambahan atau bentuk tindakan yang dicadangkan untuk diambil.

Beliau berkata adalah normal untuk AGC memanggil SPRM atau pegawai menyiasat untuk membincangkan fakta kes tersebut atau menyediakan penjelasan tambahan atau bentuk tindakan yang dicadangkan untuk diambil.

Dalam kes ini, beliau berkata SPRM tidak menerima permintaan seperti itu.

Pada 18 Januari lalu, AGC memulangkan semula dua kertas siasatan kepada SPRM untuk meminta lebih banyak maklumat.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam satu kenyataan berkata beliau mahukan maklumat tambahan berkaitan kes tersebut dan menambah beliau memerlukan penjelasan daripada SPRM berhubung tindakan yang dicadangkan oleh mereka.

Kertas siasatan awal dihantar kepada Pejabat Peguam Negara pada 31 Disember lalu.

Tags / Kata Kunci: SPRM , SRC , wang derma
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan