Polis Pantau Keadaan Politik Di Kedah

Diterbitkan: Sabtu, 23 Januari 2016 1:46 PM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Polis sedang memantau keadaan di Kedah berikutan pergolakan politik di negeri berkenaan bagi memastikan tidak berlakunya sebarang provokasi.

Sambil meminta rakyat negeri itu supaya bertenang dan tidak bertindak emosional, Ketua Polis Kedah Datuk Zamri Yahya berkata polis sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan keadaan adalah terkawal.

"Itu masalah dalaman mereka (pihak yang terlibat dalam pergolakan politik itu)...jadi biar mereka selesaikan. Tetapi demi memastikan keselamatan dan ketenteraman rakyat negeri ini, polis akan terus menjalankan pemantauan,"  katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, Sabtu.

Suasana politik di Kedah 'panas' sejak beberapa hari lepas apabila Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menerima tekanan daripada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Anggota Parlimen UMNO Kedah, serta pemimpin kanan UMNO negeri yang secara terbuka menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

Terdahulu, Zamri merasmikan Program Kayuhan Basikal disertai lebih 100 peserta terdiri daripada anggota polis dan masyarakat setempat, yang akan berkayuh dari IPK Kedah ke Tasik Darulaman, Jitra.

"Program yang pertama kali diadakan ini bertujuan merapatkan hubungan antara polis dan masyarakat. Kita ingin jadikan masyarakat sebagai sahabat polis dalam sama-sama membantu mengurangkan kadar jenayah bagi mewujudkan persekitaran yang selamat di Kedah," kata Zamri.

Tags / Kata Kunci: Polis , Umno , Kedah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan