Jabatan Penjara Naik Taraf Portal 'MYPRIDE'

Diterbitkan: Sabtu, 23 Januari 2016 3:09 PM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Jabatan Penjara bersama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU) sedang menaik taraf portal jualan produk Jabatan Penjara 'MyPride' secara dalam talian.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Ali Besar berkata sekiranya portal ini berfungsi sepenuhnya Mac ini, ia bukan sahaja mendapat meningkatkan hasil jualan, malah produk MyPride mampu menembusi pasaran antarabangsa.

"Produk MyPride keluaran Jabatan Penjara merupakan hasil tangan penghuni yang mana masa dahulunya ia dilakukan untuk mengisi masa lapang penghuni semasa dalam tahanan, namun dengan adanya permintaan daripada masyarakat, ia kini mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan sekali gus membentuk pembangunan kerjaya penghuni untuk memulakan langkah dalam mendapatkan pekerjaan apabila dibebaskan kelak," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas merasmikan Karnival Jualan Infokraf Perdana 2016 di Pasaraya KIP Mart, Senawang dekat sini hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah Penjara Datuk Sri Zulkifli Omar.

Wan Ali berkata Jabatan Penjara berjaya mencapai sasaran jualan produk MyPride pada tahun lepas sebanyak RM32 juta berbanding RM28.8 juta pada tahun sebelumnya.

"Pada tahun ini jabatan menyasarkan jualan RM34 juta. Saya yakin sasaran ini dapat dicapai dengan adanya portal jualan lebih 100 produk MyPride," katanya.

Wan Ali berkata orang ramai tidak perlu ragu-ragu dengan produk MyPride kerana Jabatan Penjara sentiasa berusaha untuk meningkatkan mutu kualiti produk dengan memberi jaminan bahawa produk MyPride merupakan produk yang selamat dan mempunyai kualiti tinggi.

Katanya bagi menjamin kualiti dan kebersihan produk, Jabatan Penjara telah menetapkan matlamat memastikan hanya produk makanan yang diyakini halal, bersih, selamat dan berkualiti sahaja dipasarkan dan kini Jabatan Penjara telah menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan di bawah Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggunjawab Industri (MeSTI).

Sementara itu, katanya Jabatan Penjara optimis untuk memberikan kemahiran kompetetif kepada penghuni penjara di mana sehingga kini 47 bidang kemahiran telah dibangunkan.

Katanya bermula sejak 2012 hingga tahun lepas, seramai 7,680 penghuni telah dipersijilkan dengan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) melalui Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN), manakala sejak 2010 seramai 2,297 penghuni dipersijilkan dengan program Sijil Kecekapan Kemahiran (SKK) oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Kementerian Kerja Raya dan Latihan Asas Perniagaan (LAP) anjuran Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dengan kerjasama Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional).

"Jabatan Penjara akan sentiasa berusaha untuk memastikan bidang vokasional dan industri di penjara terus diperkukuhkan. Kementerian Dalam Negeri sangat menyokong usaha pemulihan yang dilaksanakan oleh Jabatan Penjara dengan mengambil kira kepentingan masyarakat.

"Matlamat akhir setiap dasar dan program yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah untuk kesejahtraan rakyat. Dalam konteks ini, masyarakat perlu terus menjadi nadi dan tunjang dalam menjayakan program pemulihan yang telah dirancang agar keberkesanannya terus memberi impak kepada kesejahteraan rakyat dan negara.

Namun segala tranformasi tidak akan membawa makna sekiranya masyarakat terus menolak dan meminggirkan mereka yang telah melalui fasa-fasa pemulihan," katanya.

Karnival Jualan Infokraf Perdana 2016 yang berlangsung selama 10 hari mulai Khamis lepas menghimpunkan produk hasil tangan penghuni tirai besi.

Antara produk dihasilkan ialah berasaskan fabrik seperti batik dan songket, produk berasaskan kayu, makanan dan produk simen fero. 

Tags / Kata Kunci: Penjara , Banduan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan